Timbalan Menteri Sebak, Tak Tahu Syarikat Kendali IMAMS Ada Bukan Islam

Timbalan Menteri Sebak, Tak Tahu Syarikat Kendali IMAMS Ada Bukan Islam – KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengesahkan beliau tidak mengetahui syarikat yang mengendalikan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) mempunyai orang bukan Islam dalam lembaga pengarahnya. Mas Ermieyati berkata perkara itu hanya diketahui selepas semakan dijalankan pegawai kementerian.

Timbalan Menteri Sebak, Tak Tahu Syarikat Kendali IMAMS Ada Bukan Islam

“Saya dah minta pegawai saya semak dengan syarikat terbabit. Maklumat kita dapat memang betul ada pemegang saham bukan Islam dalam lembaga pengarah.

“Semalam bila perkara ini timbul baru kita dapat maklumat, sebab itu saya dan pegawai saya kita lihat perkara ini tak sepatutnya berlaku,” katanya dalam nada sebak pada sidang media di ibu negara hari ini.
Tambahnya, walaupun ahli lembaga pengarah syarikat yang bukan beragama Islam itu telah meletakkan jawatan, ia tidak dapat membetulkan kerosakan yang sudah berlaku kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat.

Katanya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz juga mengarahkan sistem itu dibatalkan.

“Saya sendiri tidak dapat menerima perkara ini, jadi saya minta mereka semak dan bila buat semakan memang betul ada seorang CEO dan diletak jawatan syarikat terbabit.”

“Pada saya letak jawatan tidak boleh diambil kira kerana kerosakan sudah berlaku, sebab itu kita ambil kira perkara berlaku ini dan sebab itu kita batalkan,” katanya.

Sistem IMAMS dibatalkan sehari selepas dilaksanakan semalam, susulan bantahan daripada pemain industri, pembangkang dan parti kerajaan sendiri.

IMAMS merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi, dengan tujuan membanteras aktiviti penipuan pakej umrah. Kerajaan dilaporkan bersetuju membenarkan syarikat pengendali IMAMS mengutip GST dan bayaran untuk sistem pengurusan serta insurans ke atas setiap rakyat yang hendak mengerjakan umrah menerusi IMAMS.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih