Punca Cikgu Azizan Dibebaskan Mahkamah

Punca Cikgu Azizan Dibebaskan Mahkamah | SEREMBAN – Mahkamah Majistret Seremban sebentar tadi, melepas tanpa membebaskan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya, Oktober lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Punca Cikgu Azizan Dibebaskan Mahkamah

Mengikut pertuduhan, Azizan didapati telah menyebabkan cedera pada pipi sebelah kiri seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun pada 6 April 2017, jam lebih kurang 7 pagi di hadapan tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Azizan Manap (empat dari kanan) kelihatan tiba di Mahkamah Seremban kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Sementara itu Azizan melahirkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dari seluruh negeri yang memberi sokongan.

Katanya, dia telah memaafkan pelajar dan keluarganya selain tidak menyimpan dendam.

“Saya hargai semua sokongan dan anggap anda semua sahabat dan saudara saya. Insya-ALLAH moga-moga kita dirahmati.

“Untuk anak murid saya pula, saya doakan dia berjaya suatu hari nanti dan menjadi anak yang baik,”katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi Kes Cikgu Azizan: Runtuhnya Sebuah Institusi Perguruan]

Terdahulu, seawal jam 8 pagi tadi orang ramai dianggarkan lebih 300 orang telah mula berkumpul  di Mahkamah Seremban bagi memberi sokongan dan sebagai solidariti kepada Azizan.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Lebih 300 orang telah mula berkumpul di Mahkamah Seremban

Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah sebelum dituduh di mahkamah pada 31 Oktober lalu.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Kementerian Pendidikan tidak akan menghalang mana-mana guru untuk berhimpun bagi memberi sokongan kepada Cikgu Azizan.

Mahdzir berkata, tindakan berhimpun di mahkamah untuk memberi sokongan kepada rakan guru adalah hak individu. – Sinar Harian

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih