Apakah Hukum Solat Sunat Ketika Azan?

Apakah Hukum Solat Sunat Ketika Azan?

Soalan:

Apakah hukum mendirikan solat semasa azan sedang dilaungkan. Ini kerana ada masa di sebabkan tugas atau perjalanan jauh, kita perlu mendirikan solat segera apabila masuk waktu. Kadangkala berpandukan pada waktu solat yang telah ditetapkan, kita terus solat dengan yakin apabila jarum jam menunjukkan waktu telah masuk.
Perlukah kita menunggu sehingga azan habis dilaungkan untuk mendirikan solat.

Jawapan:

Dalam persoalan ini anda seharusnya mengetahui dan memahami Fiqh al-Nafs atau sebahagian ulamak menamakannya sebagai Fiqh al-Aulawiyat. Iaitu yang manakah satu yang lebih utama dan perlu dilakukan pada waktu itu.

Dalam masalah ini seharusnya anda menunggu azan selesai barulah kemudiannya menunaikan solat, kerana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muadzin.” (HR. Al-Bukhari no. 611 dan Muslim no. 846)

Maka, berpandukan hadis di atas, lebih ‘Aula’ atau lebih baik menjawab azan dahulu.

Di dalam bab Ihtiyat (berhati-hati). Berkemungkinan waktu solat itu sebenarnya belum masuk lagi, atau muazzin terazan awal, jika kita menunggu sehingga selesai azan dan kemudian nya baru solat maka kita telah solat di dalam waktunya. Perkara ini disebut oleh para ulama fiqh.

Jumaat.

Seringkali ditanya pada hari jumaat yang kebiasaan di negara kita, masjid akan azan sebanyak dua kali. Jika kita datang lewat iaitu sewaktu azan kedua di laungkan, adakah perlu ditunggu azan selesai baru menunaikan solat sunat?

Sekiranya seseorang itu datang sewaktu azan pertama, maka keutamaan pada ketika itu menunggu untuk menjawab azan, jika sekiranya seseorang itu datang sewaktu azan kedua di laungkan, maka pada ketika itu keutamaannya terus solat tahiyyatul masjid, kerana Khatib akan terus berkhutbah sebaik sahaja selesai azan kedua.

wallahu a’lam

Sumber: www.al-ahkam.net

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih