Utusan Diperintah Bayar RM300,000 Kepada Bekas Pengurus Besar PKNS

Utusan Diperintah Bayar RM300,000 Kepada Bekas Pengurus Besar PKNS

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada bekas pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atas dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah dalam akhbar Utusan Malaysia, 2 tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’hara membuat keputusan itu selepas membenarkan saman Datuk Othman Omar, 56, selaku plaintif terhadap Utusan Melayu, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman tersebut.

O’hara memerintahkan Utusan Melayu membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk sebanyak RM50,000 dan faedah sebanyak 5% bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga penghakiman selesai.

Mahkamah juga memerintahkan syarikat akhbar itu membayar kos sebanyak RM20,000 kepada plaintif dan membenarkan satu injunksi untuk menghalang Utusan Melayu daripada menerbitkan atau mengedar kenyataan fitnah yang sama terhadap plaintif.
O’hara juga membenarkan permohonan peguam Mohd Izral Khairy mewakili Utusan Melayu bagi mendapatkan penangguhan sementara untuk Utusan Melayu menerbitkan penarikan balik ke atas penyiaran pernyataan fitnah itu dalam dua buah akhbar selepas peguamnya memfailkan permohonan penangguhan secara rasmi berhubung perkara itu pada 1 Oktober ini.

Dalam penghakimannya, O’hara berkata terdapat niat jahat dilakukan oleh pihak defendan (Utusan Melayu) kerana menerbitkan artikel itu secara melulu dan mahkamah mendapati bahawa artikel yang diterbitkan itu adalah fitnah.

Katanya, wartawan yang menulis artikel berkenaan tidak mengambil langkah yang munasabah untuk mengesahkan kebenaran artikel itu dan kelakuannya dilihat tidak bertanggungjawab.

“Mahkamah mendapati Utusan Melayu gagal memuaskan bahawa ia boleh bergantung kepada pembelaan kelebihan kelayakan berhubung penerbitan itu,” katanya.

Pada 14 Jun 2013, Othman memfailkan saman selepas mendakwa syarikat akhbar itu menerbitkan artikel yang bertajuk “Dikatakan banyak timbul kontroversi ketika menerajui PKNS – Kontrak Othman tak disambung” pada 29 Januari 2013.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Othman mendakwa artikel berunsur fitnah yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia antara lain membawa maksud bahawa beliau tidak layak untuk menjadi pengurus besar PKNS dan suka membuat keputusan kontroversi terhadap Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, Othman mendakwa kenyataan itu juga membawa maksud bahawa beliau tidak jujur dan menguruskan kewangan perbadanan itu dengan cara yang tidak betul.

Beliau mendakwa defendan membuat kenyataan fitnah itu tanpa mendapatkan sebarang penjelasan daripadanya sehingga mencemarkan karakter dan nama baiknya di khalayak ramai.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan mewakili Othman. – Bernama, 23 September, 2015.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih