Uber Bantu Rakyat Tambah Pendapatan

Uber Bantu Rakyat Tambah Pendapatan

Putrajaya: Pengusaha teksi digalakkan untuk bekerjasama dengan teksi alternatif seperti Uber bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada penumpang di bandar-bandar utama di seluruh negara.

Jika tidak, mereka perlu mencari jalan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik bagi bersaing dengan Uber dan syarikat-syarikat teksi alternatif yang lain.

Pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Abdullah Serigar, berkata: “Kewujudan perkhidmatan teksi alternatif bukan masalah kepada pengusaha teksi kerana pengguna akan memilih mereka jika mereka menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan tambang yang munasabah.”

Beliau berkata demikian pada program #MyUberPitch di sini.

Mohd Irwan, berkata model perniagaan Uber membolehkan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan ini sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, perkhidmatan Uber adalah selamat kerana ia dipantau oleh pihak pengurusan Uber sendiri.

“Penilaian bukan sahaja akan dibuat ke atas pemandu tetapi juga penumpang-pemandu dan penumpang yang mendapat markah negatif akan dilarang menggunakan perkhidmatan.

“Perkhidmatan baru ini amat popular di Amerika Syarikat dan sekarang di negara ini. Ia adalah idea baharu dalam perniagaan tanpa sempadan yang membentuk semula ekonomi global,” katanya.

Program #MyUberPitch adalah satu inisiatif oleh Uber Malaysia dan INTI International University Colleges.

Program ini membolehkan usahawan, peluang untuk membawa idea perniagaan mereka kepada tokoh perniagaan yang berpengaruh di Malaysia termasuk Mohd Irwan.

Dalam majlis itu, Mohd Irwan yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan bertemu dengan dua usahawan perkhidmatan Uber.

Seorang usahawan masuk ke kereta dan mula mengketengahkan ideanya dalam tempoh singkat disebabkan perjalanan hanya 15 minit.

Pada akhir sesi itu, usahawan tersebut diturunkan di lokasi yang sama beliau dijemput.

Mohd Irwan ketika mengulas mengenai perjalanan 15 minit itu, berkata : “Saya telah bertemu dengan dua individu yang mempunyai idea yang inovatif.

“Kami berikan mereka 15 minit untuk membentangkan idea mereka. Ini adalah cara baru bagi membuat sesuatu perkara dalam tempoh masa yang singkat.

“Oleh itu, mereka perlu fokus dan yakin. Kami akan menilai cadangan mereka dan membuat keputusan siapa yang akan menang tidak lama lagi.” – Bernama

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih