TRAGIS !! Tiga Sekeluarga Maut Nahas Jalan Raya di Rompin

TRAGIS !! Tiga Sekeluarga Maut Nahas Jalan Raya di Rompin

KUANTAN – Tiga maut manakala tiga lagi parah selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki enam sekeluarga itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Shah Bandar Keratong 3, Bandar Tun Razak dekat Rompin petang semalam.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta, Nor Hafizah Md Nor, 27, dari Felda Keratong 5, ibunya Joharia Darus, 65, (penumpang belakang) dan anak saudara pemandu, Muhammad Farish Ashraf Mohd Faizul, 3, (penumpang belakang).

Sementara, mangsa yang cedera parah ialah adik Nor Hafizah iaitu Norizati Md Nor, 26, (penumpang hadapan) serta dua lagi anak saudara pemandu iaitu Muhammad Affar Firdaus Mohd Zaidi, 3, dan adiknya Muhammad Aflan Arif Mohd Zaidi, 2.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata pemandu lori berkenaan, Mohd Nur Faizani, 33, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Nahas 4.15 petang itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Bandar Tun Razak menuju ke Keratong 5.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tersebut.

“Akibat perlanggaran itu, kereta yang dinaiki mangsa berpusing dan terbabas ke bahu kanan jalan manakala lori tersebut berhenti di tengah-tengah jalan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Katanya Norizati dihantar ke Hospital Segamat, manakala dua lagi mangsa yang turut parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut. – Bernama

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih