Tiada Siapa Yang Arah Polis Siasat SPRM Kata KPN

Tiada Siapa Yang Arah Polis Siasat SPRM Kata KPN

SHAH ALAM – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menjalankan siasatan dan tidak bertindak di atas arahan mana-mana pihak, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan PRDM yang memanggil pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan selain merampas beberapa dokumen dan peralatan elektronik milik badan bebas rasuah itu.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak polis hanya menjalankan tugas dan tidak sama sekali bertindak di atas apa jua bentuk tekanan atau arahan dari mana-mana pihak.

“Kami jelas dalam hala tuju siasatannya ke atas kes di mana dokumen rasmi kerajaan dan perbankan yang dibocorkan, telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan negara,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai siasatan yang sedang berlangsung, Khalid berkata, hasil siasatan itu akan dikemukakan kepada peguam negara untuk arahan lanjut.

“Umum harus faham bahawa setiap agensi kerajaan mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan sesuatu siasatan. Namun ia tetap selari dengan tujuan asal iaitu untuk mencari kebenaran.

“Atas dasar ini, PDRM tidak sesekali mengganggu siasatan atau mencampuri tugas dan tanggungjawab SPRM atau bertindak dalam apa juga cara yang boleh menjejaskan hubungan kerja antara agensi-agensi yang terbabit,” katanya lagi.

Penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai akan menjejaskan siasatan badan tersebut terhadap SRC International Sdn Bhd.

Ini kerana menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Percegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali, , peralatan pegawai-pegawai bertugas telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Khalid dalam pada itu mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belahkan perpaduan di negara ini.

“Berilah ruang dan peluang kepada agensi-agensi menjalankan tugas mereka tanpa sebarang campur tangan dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tersendiri,” katanya lagi. lapor Sinar Online.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih