‘Terbantut’ Ular Sawa Dalam Enjin Kereta

‘Terbantut’ Ular Sawa Dalam Enjin Kereta – KUALA KRAI: Hasrat seorang lelaki yang ingin menghantar anaknya ke tabika terbantut apabila dikejutkan dengan penemuan ular sawa seberat 35 kilogram di dalam bahagian enjin kereta. Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Kamaruzaman Awang, 45, dari Lepan Anjung, Dabong mahu membuka bahagian bonet kereta Perodua Alza miliknya untuk memeriksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

‘Terbantut’ Ular Sawa Dalam Enjin Kereta

Bagaimanapun, katanya, bonet keretanya sukar dibuka, namun dia tidak mengesyaki apa-apa.

“Lepas berjaya dibuka, saya lihat seekor ular sawa pada bahagian enjin.

“Terkejut melihat ular itu, saya terus lepaskan bonet hingga menghempap ular berkenaan,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya mengajak adik iparnya, Nik Azwan Nik Soh, 28, untuk mengeluarkan ular tersebut dari kenderaannya, namun lelaki berkenaan enggan.

“Adik ipar kemudiannya hubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk bantu keluarkan ular,” katanya yang terpaksa menghantar anaknya ke tabika dengan motosikal.

Menurut Kamaruzaman, sebelum ini, dia dan keluarganya kerap menemui ular di sekitar rumahnya.

“Selalunya saya berani tangkap ular kerana saiznya agak kecil.

“Tapi ular sawa ini agak besar, sebab tu saya tak berani nak keluarkannya dari enjin kereta,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai APM Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar berkata, enam anggota bergegas ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 8 pagi.

“Setibanya di sana, reptilia itu masih berada pada bahagian ruangan enjin kereta.

“Anggota bertugas mengambil masa empat minit untuk mengeluarkan ular berkenaan dengan menggunakan penjerut,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan berkenaan adalah yang ke-209 untuk tahun ini sementara kes pertama tangkapan pada bahagian enjin kenderaan.

Menurutnya, ular sepanjang lima meter itu kemudian dibawa balik ke pejabat APM untuk diserahkan kepada pihak perhilitan. – Sinar Online

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih