SAYU !! Luahan Hati Wanita Ini “Kecur Mengidam Laksa”

SAYU !! Luahan Hati Wanita Ini “Kecur Mengidam Laksa”

Kota Bharu: “Walaupun setiap hari kami makan nasi berlaukkan ikan rebus goreng dan budu, lima anak saya tidak pernah merungut dan menikmati makanan itu dengan penuh rasa syukur,” kata Nor Hafisah Noor, 45, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Masjid, Kubang Kerian di sini, semalam.

Nor Hafisah berkata, kehidupan keluarganya mula berubah apabila suaminya, Fauzi Mat, 48, yang juga orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kecacatan tangan kanan yang kecil akibat angin ahmar ketika usia remaja tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit buah pinggang dan gout.

Katanya, suaminya sering sakit dan bergantung kepada ubat-ubatan menyebabkan dia tidak boleh bekerja berat.

“Saya bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk suami sebanyak RM350 sejak tiga tahun lalu dan anak bongsu, Nur Balqish Umairah, 4, yang lembam memperoleh RM150 sebulan sejak tiga bulan lalu.

“Dengan wang itu, kami hidup berjimat cermat dengan membeli sekilogram ikan untuk dimakan dua hari. Kami juga dapat menikmati ayam sebulan sekali saja dan ada masanya langsung tidak dapat menjamu anak dengan ayam. Anak-anak tidak pernah merungut dan makan apa saja yang dihidangkan,” katanya.

Menurutnya, semua anaknya bersekolah termasuk empat daripadanya Nor Sazwani, 12, Nor Liana, 11, Nor Natasha, 10, dan Mohd Nor Ashraff, 7, di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2, manakala Nur Balqish dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sejak tiga bulan lalu.

Ketika kunjungan Harian Metro ke rumahnya semalam, Nor Hafisah berkata, sebaik mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM350 sebelum Aidiladha lalu, anaknya minta mahu makan laksa kerana lama tidak menikmati makanan itu.

“Lebih sembilan bulan kami tidak menikmati makanan itu kerana tiada wang, namun duit BR1M tempoh hari dapat menunaikan hasrat anak apabila saya menjamu mereka dengan tiga kilogram laksa Kelantan.

“Mereka gembira dan makan bertambah beberapa kali,” katanya.

Katanya, sejak sembilan tahun lalu, mereka sekeluarga tinggal di rumah tanpa bilik itu yang disewa RM40 sebulan.

“Syukur Alhamdulillah kerana pemilik rumah cukup memahami kesusahan kami sekeluarga apabila tidak pernah menaikkan harga sewa,” katanya. lapor myMetro.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih