SAYU !! Luahan Hati Suami ‘Ramadan Terakhir Bersama Isteri’

SAYU !! Luahan Hati Suami ‘Ramadan Terakhir Bersama Isteri’

PENAGA – “Ramadan ini merupakan yang terakhir saya menyambut bersamanya. Masa terasa begitu pantas. Kadangkala seolah-olah kehadirannya masih ada di sisi saya,” Luah suami kepada mangsa kemalangan maut, Nor Azura Mohd Azhar di Pasir Gebu, Sabtu lalu.

Mohd Kamal Mohamad, 37, berkata, dia tidak menyangka peristiwa kemalangan itu bakal merubah nasib mereka sekeluarga.

“Pada pagi itu, kira-kira jam 8.30 pagi, saya mendapat panggilan daripada seseorang memaklumkan keadaan arwah isteri yang hanya tinggal 50-50 akibat kemalangan tersebut.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadap isteri,” katanya ketika menceritakan saat-saat mendapat perkhabaran mengenai kemalangan yang menimpa arwah isterinya.

Ketika kejadian, Nor Azura maut setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh tiang telefon di hadapan sebuah sekolah di Pasir Gebu.

Hasil perkongsian Mohd Kamal bersama isterinya, Nor Azura Mohd Azhar mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Amirul Hakimi Mohd Kamal, 7, dan Amir Hafizi Mohd Kamal, 4.

Kini, sudah seminggu kehidupan mereka sekeluarga tanpa seorang isteri dan juga seorang ibu.

“Kalau nak kenangkan kembali, sukar juga kehidupan yang bakal saya tempuhi ini. Bayangkan selama ini segala hal berkaitan anak-anak dan hal rumah arwah isteri yang uruskan.

“Kini, sayalah ibu dan saya juga ayah kepada anak-anak. Alhamdulillah, anak saya terutamanya yang sulung seperti sudah dapat menerima kenyataan bahawa ibu mereka sudah tiada lagi,” katanya.

Bagaimanapun, kudratnya akan digagahi sedaya upaya untuk membesarkan anak-anak dengan sendiri.

“Walaupun agak sukar tapi saya tekad saya perlu kuat untuk besarkan anak-anak.

“Yang pastinya Ramadan ini akan kekal dalam ingatan penuh peristiwa yang amat bererti bagi kami sekeluarga,” katanya. lapor Sinar Harian.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih