Saya Akan ‘Selfie’ Dengan Ronaldo – Faiz Subri

Saya Akan ‘Selfie’ Dengan Ronaldo – Faiz Subri | Finalis anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz merancang untuk berswafoto bersama idolanya, Cristiano Ronaldo jika berpeluang berjumpa dengan bintang Portugal itu.

Pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu juga semakin teruja dan gementar apabila bakal berkongsi pentas dengan bintang bola sepak antarabangsa seperti Lionel Messi dari Argentina dan Antoine Griezmann dari Perancis.

“Ronaldo memang merupakan idola saya sejak dulu lagi. Kalau jumpa beliau, saya pasti selfie (swafoto) dengan dia.

“Keadaan mental saya tidak menentu, ketaq (ketar) pun ada, gembira dan teruja pun ada. Tekanan memang tinggi tetapi saya cuba menenangkan diri kerana berada dalam senarai tiga terakhir pun bagaikan satu kemenangan bagi saya.

“Saya harapkan rakyat Malaysia terus mendoakan saya pergi dan balik dengan selamat,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini sebelum berlepas ke Zurich, Switzerland.

Mohd Faiz Subri bersama isteri Nur Zawanis Hashim, 29 dan dua anaknya, Akief Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan, 7 bulan memasuki kawasan perlepasan Antarabangsa KLIA

Ronaldo dijangka menghadiri majlis Anugerah FIFA itu untuk menerima anugerah Ballon d’Or 2016 selain dicalonkan untuk anugerah pemain terbaik 2016.

Mohd Faiz dijangka tiba di Zurich pada 7.55 malam Ahad waktu tempatan, bersamaan 2.55 pagi Isnin waktu Malaysia selepas transit di Dubai untuk majlis itu yang dijadualkan pada 6 petang waktu tempatan.

faiz subri

Saya Akan ‘Selfie’ Dengan Ronaldo – Faiz Subri

Ditanya mengenai pakaian yang bakal dipakai ketika menghadiri majlis itu, Mohd Faiz Subri berkata beliau akan mengambil keputusan selepas melihat keadaan cuaca di Zurich, yang buat masa ini boleh mencecah -3 darjah celsius.

“Buat masa ini saya ada tiga pasang baju Melayu dan masih belum membuat keputusan untuk pakai yang mana satu, kerana suhu di sana sangat sejuk. Jika tidak boleh memakai baju Melayu, saya akan sekurang-kurangnya ambil gambar dengan baju Melayu di Zurich,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini berkata Faiz sudah mendapat kebenaran daripada FIFA untuk memakai baju Melayu ke anugerah berprestij itu.

Beliau ditemani isteri Norzawanis Hashim, 29, dan dua anak, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.

Turut mengiringi beliau ke Zurich ialah Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Mohd Azizudin Mohd Sharif.

Mengulas mengenai perkara pertama yang dilakukan beliau sekiranya berjaya meraih anugerah itu, Mohd Faiz berkata beliau akan balik ke bilik hotel untuk mengucapkan terima kasih kepada isterinya.

FIFA hanya memberikan jemputan kepada beliau dan wakil daripada ahli gabungan, iaitu Afandi untuk menghadiri majlis itu.

Jaringan ajaib Faiz yang melanggar hukuman fizik yang dijaringkan ketika meraih kemenangan 4-1 ke atas Pahang, merupakan antara tiga gol yang disenarai akhir untuk Anugerah Puskas 2016.

Dua lagi calon bagi anugerah gol paling cantik sepanjang tahun lalu ialah Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Sementara itu, Afandi berharap Mohd Faiz dapat mencipta sejarah sebagai pemenang pertama anugerah itu dari rantau Asia sejak diperkenalkan pada 2009.

“Sudah tentu FAM amat mengharapkan Faiz dapat cipta kejayaan kerana beliau merupakan finalis pertama Asia. Saya berharap rakyat Malaysia terus mengundi dan berdoa untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Peminat bola sepak dunia boleh mengundi sehingga majlis anugerah itu bermula, iaitu pada 6 petang Isnin waktu Zurich. – BERNAMA

Search Terms:

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

Dapatkan kisah terbaik terus ke dalam inbox email anda!