Sambutan Aidilfitri: Kuala Lumpur ‘Ditawan’ Warga Asing

Sambutan Aidilfitri: Kuala Lumpur ‘Ditawan’ Warga Asing

KUALA LUMPUR – Dalam keceriaan umat Islam  meninggalkan ibu kota bagi menyambut 1 Syawal di kampung halaman mereka, bandaraya Kuala Lumpur menjadi ‘milik’ warga asing sempena Aidilfitri pertama hari ini.

Walaupun bukan lagi satu fenomena baharu saban tahun, namun lambakan warga asing sentiasa menimbulkan rasa kurang menyenangkan dalam kalangan warga kota dengan sikap kurang menjaga kebersihan kawasan sekitar.

Berdasarkan pemerhatian rambang oleh Bernama, puluhan ribuan warga asing dari Bangladesh, Indonesia, India, Nepal, Myanmar dan Vietnam mengambil kesempatan cuti umum untuk menyerbu beberapa kawasan tumpuan ramai.

Antara lokasi ‘panas’ kebanjiran warga asing ialah pusat beli-belah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Kota Raya, Pasar Seni dan kawasan sekitar Bukit Bintang.

Bagaimanapun, kebanjiran warga asing turut menimbulkan masalah kebersihan apabila tindakan mencemari kawasan sekitar merimaskan oleh mereka yang melepak secara berkumpulan.

Seorang rakyat Malaysia, Nur Habib Hasinuddin, 42, berkata warga asing terlalu ramai yang berkunjung ke ibu kota sehingga masyarakat tempatan pula khuatir untuk bersiar-siar.

“Kita pula yang takut untuk keluar kerana mereka (warga asing) lebih ramai daripada kita,” kata juruteknik kilang itu ketika ditemui di KLCC.

Beliau, yang bersama keluarganya datang dari Segamat, Johor bagi menyambut Aidilfitri di ibu kota bagi kali pertama, berkata tidak pernah membayangkan ibu negara yang dipenuhi dengan warga asing.

Sementara itu, bagi G.Arivalagan, 39, tindakan warga asing mengotorkan bandar raya dengan antaranya meludah dan membuang sampah dan puntung rokok di merata tempat mencacatkan pemandangan dan status Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang moden.

Kakitangan kerajaan itu berkata senario tersebut tidak harus berlaku kerana ia boleh menyebabkan imej Malaysia tercalar di kaca mata pelancong asing yang datang ke negara ini.

Beliau berharap pihak berkuasa memastikan warga asing yang datang ke bandar raya sentiasa menghormati peraturan dan budaya tempatan.

Namun, bagi warga asing, cuti raya ini adalah masa terbaik bagi mereka untuk bersiar-siar di ibu kota bersama rakan-rakan senegara berikutan tidak mudah memperolehi cuti panjang.

Hudnar Nizjar, 27, berkata warga asing selalunya akan bertemu dengan rakan senegara di ibu kota kerana ia merupakan destinasi yang mudah dilawati dengan menggunakan pengangkutan awam. – Bernama

Facebook Comments

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

Dapatkan kisah terbaik terus ke dalam inbox email anda!

(Visited 43 times, 1 visits today)

Leave a Reply