Punca Sebenar Saiful Tarik Balik Saman RM50juta Didedahkan..

Punca Sebenar Saiful Tarik Balik Saman RM50juta | Kuala Lumpur – Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, menarik balik saman RM50 juta terhadap bekas ketuanya berhubung kes liwat II kerana tidak mampu membiayai kos guaman.

Mohd Saiful, yang kini bekerja sebagai ejen insurans, berkata beliau mempunyai kes dan hujah kukuh dalam kes saman itu namun proses perundangan kadang-kala mengambil masa yang panjang untuk sampai ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Saya tidak berkeupayaan untuk membiayai kos guaman sehingga ke peringkat itu. Perlu bergadai harta dan masa untuk turun naik mahkamah.

“Cukuplah tujuh tahun saya melalui proses perundangan turun naik mahkamah untuk membuktikan kebenaran laporan polis yang saya buat pada 2008,” katanya dalam kenyataan akhbar yang diperoleh daripada peguamnya Zamri Idrus.

Saiful Tarik Balik Saman

Beliau berkata laporan polis berhubung kejadian liwat itu telah dibuktikan benar apabila kelima-lima Hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Anwar bersalah meliwatnya.

“Mahkamah Persekutuan juga telah memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa saya seorang saksi yang kredibel, boleh dipercayai dan bercakap benar,” katanya.

Mohd Saiful juga berkata beliau tidak lagi bercadang untuk meneruskan saman itu kerana tidak mahu perbicaraan kes saman itu dieksploitasi untuk kepentingan pihak tertentu.

“Ingin saya tegaskan bahawa keputusan saya ini tidak bermakna saya menarik balik segala isi kandungan dalam laporan polis yang saya buat terhadap Anwar,” katanya.

Pada 23 Jun tahun lalu, Mohd Saiful, 30, yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, memfail saman itu kerana mendakwa telah mengalami trauma dan penderitaan sejak 2008 akibat diliwat oleh Anwar.

Dalam tuntutannya, Mohd Saiful mendakwa Anwar telah menuduhnya sebagai memfitnah dan berkonspirasi terhadap Ketua Umum PKR itu dalam laporan polis pada 28 Jun 2008.

Pagi tadi Mohd Saiful, melalui peguamnya menarik balik saman itu dan perintah penarikan saman direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan, lapor Bernama.

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

No Responses