Punca Sebenar Lelaki Ini Tampar Imam Masjid Negara

Punca Sebenar Lelaki Ini Tampar Imam Masjid Negara

Kuala Lumpur – Seorang lelaki bertindak menampar Imam Masjid Negara ketika solat Jumaat hari ini kerana mendakwa ada suara ghaib mahukan dia mengimamkan solat itu.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari ketika rakaat pertama solat berkenaan yang dipimpin oleh Mohd Zuhairee Mohd Yatim, 39.
Lelaki warganegara India berusia 31 tahun itu datang dari arah belakang ketika imam sedang membaca surah al-Fatihah, kata Zainol.

Difahamkan, lelaki berkenaan cuba merampas mikrofon yang berada pada jubah dipakai Mohd Zuhairee namun gagal menyebabkannya berang lalu mengambil tindakan menampar imam itu secara tiba-tiba.

Pengurusan masjid kemudiannya membawa lelaki berkenaan keluar serta-merta dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Zainol berkata, lelaki itu sudah ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami masalah mental dan sering bercakap seorang diri,” katanya.

Zainol berkata, imam itu ditampar di sebelah pipi kanan dan menyebabkan mangsa mengalami sakit kepala akibat kesan tamparan.

Insiden itu berlaku selama kira-kira tiga minit sebelum Mohd Zuhairee kembali mengimamkan solat Jumaat dan meminta semua makmum solat semula.

Bilal bertugas Mohamed Shukri Che Yusoh, 23, berkata beliau tidak menyangka insiden itu boleh berlaku.

“Sebelum ini tidak pernah berlaku perkara seperti ini di sini (Masjid Negara), saya agak terkejut dan syukur keadaan terkawal,” katanya, lapor Bernama.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih