Proton Persona Baru – Perbezaan Dulu Dan Kini

GALERI: Proton Persona Baru – Perbezaan Dulu Dan Kini | Seperti yang diketahui, Proton telah pun melancarkan model Persona generasi kedua tahun lalu. Menerusi galeri kali ini, kami paparkan ‘evolusi’ yang berlaku pada model generasi kedua berkenaan berbanding model generasi pertamanya.

proton persona baru

Jika dilihat dalam sejarah Proton, nama Persona ini sebenarnya diberikan buat pertama kali kepada Proton Wira untuk pasaran UK, manakala Satria digelar Persona Compact dan Putra digelar Persona Coupe pada pasaran berkenaan.

Jadi, bagi pasaran tempatan, susur galur generasi Persona tidak dikira dari Wira, manakala model generasi pertama Persona di Malaysia muncul pada tahun 2007. Model asal Persona ini sebenarnya berkongsi platform dan hampir kesemua komponen dengan Proton Gen-2, dan dibuat perubahan dari tiang-B hingga kebahagian but, bagi merubah bentuk fastback lima pintu pada Gen-2, menjadi sebuah sedan empat pintu pada Persona dengan dimensi 167 mm lebih panjang.

Proton Persona Baru – Perbezaan Dulu Dan Kini

Platform Gen-2 dan Persona ini sendiri sebenarnya dibina berasaskan platform Proton Waja, di mana kedua-dua model ini berkongsi dimensi jarak roda yang sama iaitu 2,600 mm, serta bentangan sistem suspensi yang menggunakan Topang McPherson di hadapan dan multilink di bahagian belakang. Ketika mula diperkenalkan, Waja di bina sebagai sedan yang bersaing di dalam ‘liga’ yang sama dengan Honda Civic serta Toyota Corolla pada era berkenaan.

Model Persona generasi pertama yang dipaparkan ini merupakan model Persona Elegence 2011, iaitu model versi facelift yang mula diperkenalkan pada tahun 2010. Enjin asal pada model facelift ini masih kekal dengan enjin S4PH Campro IAFM 1.6 liter berkuasa 109 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm, dipadankan dengan pilihan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

GALERI: Proton Persona Baru – Perbezaan Dulu Dan Kini

Pada bahagian luaran pula, Elegance dibezakan menerusi gril dan lampu utama, bampar hadapan dan belakang serta kit badan yang direka semula. Lampu belakang model Elegance ini juga kini diberikan lampu jenis LED. Pada bahagian dalaman, pemain audio yang sebelum ini hanya boleh memainkan media dari pemain CD, turut ditambah dengan hubungan AUX dan USB.

Berbanding model generasi kedua, Persona kini di bina berasaskan hatchback segmen-B Proton Iriz. Oleh itu, Persona generasi baharu ini kini bersaing dengan Honda City, Toyota Vios dan juga Nissan Almera dalam liga sedan segmen-B tempatan. Berbanding generasi terdahulu, Persona baharu ini diukur dengan panjang keseluruhan 572 mm lebih pendek dan juga jarak roda 45 mm lebih pendek.

GALERI: Proton Persona Baru – Perbezaan Dulu Dan Kini

Namun model baharu ini direka 116 mm lebih tinggi Persona generasi terdahulu, dan dengan manipulasi ruang yang lebih optimum, but Persona generasi baharu ini dapat dibina dengan kapasiti 80 liter lebih besar dari sebelum ini.

Enjin 1.6 liter pada Persona baharu ini dibina dengan penggunaan bahan api yang lebih cekap menerusi pemadanan sistem pemasaan injap VVT. Jumlah kuasa yang dihasilkan adalah sedikit kurang iaitu 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm. Walau bagaimanapun, talaan baharu yang diberikan pada enjin baharu ini membuatkan ia terasa lebih responsif.

Untuk versi transmisi automatik, tiada lagi pilihan kotak gear torque converter empat kelajuan diberikan dan digantikan dengan kotak gear CVT. Manakala untuk transmisi manual pula, ia masih diberikan kotak gear lima-kelajuan.

Persona generasi baharu ini mengambil terus suspensi dari Iriz iaitu Topang McPherson pada bahagian hadapan serta torsion beam pada bahagian belakang, tetapi dengan talaan yang lebih sesuai dengan sedan.

Bagi sistem keselamatan pula, kesemua varian Persona 2016 bukan sahaja diberikan sistem brek ABS, EBD dan BA, malah turut diberikan sistem Kawalan Stabiiti Elektronik (ESC) secara standard. Varian Standard dan Executive diberikan dua unit beg udara, manakala untuk varian Premium diberikan enam-beg udara. Ini membolehkan Persona generasi kedua ini menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang.

Lima varian ditawarkan dengan harga bermula RM46,000 hingga RM60,000 dan pecahan dan perincian setiap varian berkenaan boleh anda baca DI SINI. Kami sudah pun memandu uji Persona 2016 di litar ujian Proton sebelum ia dilancarkan, dan juga mengujinya dalam sesi pandu uji media dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Kami juga telah menyediakan galeri khas untuk anda untuk membandingkan antara Persona dan juga Iriz. – paultan.org

GALERI: Proton Persona 1.6 Premium CVT 2016

Proton Persona 1.6 Elegance AT 2011

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

Dapatkan kisah terbaik terus ke dalam inbox email anda!