Pesta Buah Mangga “Alphonso” Sudah Tiba..

Pesta Buah Mangga “Alphonso” Sudah Tiba | NEW DELHI – Sekarang adalah musim panas di India dengan suhu sekitar 42 dan 45 darjah Celsius dan keadaan ini membuatkan ramai yang berpusu-pusu ke tempat peranginan tanah tinggi atau melancong luar negara.

Di India, musim panas juga menandakan bermulanya musim buah-buahan.

Di setiap penjuru bandar dan kawasan perumahan ada sahaja gerai menjual buah-buahan meskipun cuaca panas teruk yang membuatkan ramai yang lebih suka duduk di dalam rumah.

Pesta Buah Mangga “Alphonso” Sudah Tiba

Buah-buahan yang banyak ini juga memberi pelbagai pilihan kepada pembeli sama ada membeli dalam bentuk asalnya atau yang sudah dibuat manisan atau ‘cocktail’ mahu pun jus untuk menghilangkan rasa dahaga.

Jika di Malaysia durian adalah raja buah, di India pula, penghormatan ini diberi kepada mangga.

Bagaimanapun mangga di India jauh berbeza daripada mangga di Malaysia bukan sahaja daripada segi bentuk, saiz dan warna tetapi juga rasa.
Pesta Buah Mangga "Alphonso" Sudah TibaPesta Buah Mangga “Alphonso” Sudah Tiba

RAJA SEGALA RAJA

Saya mendapat tahu “Alphonso” dan “Bangnapali” adalah raja segala mangga di India.

Mangga “Alphonso” yang dikenali juga sebagai “Hapoo” dalam kalangan orang tempatan adalah jenis mangga paling mahal di India. Maharashtra, Gujarat dan Karnataka adalah pengeluar utama mangga jenis ini.

Warna kulit mangga ini oren cerah dan isinya tanpa fiber. Masyarakat tempatan gemarkan rasa isi mangga yang begitu lembut seperti krim.

Sementara itu, mangga “Banganapalli” yang berkulit warna kuning, isinya juga manis dan tanpa fiber. Mangga ini yang paling popular antara mangga yang datang dari Andhra Pradesh dan beberapa negeri lain di Selatan India.

Satu lagi mangga di India yang dipanggil “Dasehri” rasanya manis seperti sirap pekat. Pengeluar terbesar mangga ini ialah Uttar Pradesh.

Pesta Buah Mangga “Alphonso” Sudah Tiba

CARA BETUL MEMILIH MANGGA

Memandangkan begitu banyak bekalan mangga, seseorang itu perlu tahu cara yang betul untuk memilih mangga.

Seperti di Malaysia, sekiranya anda “hantu durian“, anda perlu tahu cara untuk memilih durian. Ini kerana durian dari selatan tanah air berbeza dengan durian dari utara sama ada rasa, bentuk dan saiz serta harga.

Di Malaysia, Musang King, durian tembaga dan D-24 adalah antara durian yang paling popular dalam kalangan “hantu durian” sehinggakan mereka sanggup berbelanja lebih untuk menikmati buah itu.

Sama juga dengan mangga di sini. Apabila tiba musim buah-buahan yang bermula pada awal Mac dan berakhir Julai, terdapat lebih 200 jenis mangga.

Peniaga di sebuah pasar mengajar saya beberapa petua untuk memilih mangga dan yang paling utama ialah jangan membeli pada awal atau penghujung musim buah-buahan.

Saya dapati harga pun berbeza dari satu tempat kepada satu tempat yang lain di bandar yang sama.

Masyarakat di sini lazimnya akan membandingkan dahulu harga buah itu sebelum membeli.

Seperti di Malaysia, kos buah yang sama adalah 30 hingga 40 peratus lebih tinggi jika dijual di kompleks membeli-belah yang ternama.

Memandangkan peniaga tidak meletakkan tanda harga, sukar juga untuk saya tawar-menawar, tambahan pula bahasa Hindi saya pun lemah. Akhirnya saya sering membayar harga yang lebih tinggi berbanding penduduk tempatan.

Mangga jenis biasa berharga kira-kira 100 hingga 150 rupee sekilo (RM6.00 hingga RM8.00) dan saya membelinya untuk diberikan kepada jiran dekat rumah saya serta kawan-kawan yang lain sesuai dengan semangat kejiranan dan kemesraan rakyat Malaysia.

Masyarakat tempatan tidak berapa membeli buah mangga ini kerana menjangkakan harganya akan turun serendah 50 hingga 70 rupee (RM3.00 hingga RM3.50) dalam masa bebeapa minggu sebelum penghujung musim buah-buahan.

Saya masih ingat di Malaysia, saya pernah membeli mangga yang kurang bermutu dengan harga antara RM14 dan RM16 sekilo.

Pesta Buah Mangga “Alphonso” Sudah Tiba

MANGGA INDIA DIEKSPORT KE ASIA BARAT DAN EROPAH

Mangga India sememangnya popular sehingga ke Asia Barat serta Eropah dan United Kingdom kekal sebagai pengimport utama buah ini.

Untuk rekod, mangga dari India diharamkan masuk ke Eropah hampir setahun lamanya selepas lalat buah dijumpai dalam pengiriman mangga tetapi pengharaman itu ditarik balik baru-baru ini.

Sudah tentunya langkah menarik balik pengharaman ini melegakan penanam mangga Alphonso di daerah Konkan di Maharastra. Hasil pengeluaran mangga mereka terjejas akibat cuaca buruk pada bulan Mac.

Bagaimanapun, pengguna tempatan terpaksa menanggung kesan akibat bekalan yang berkurangan dan harga mangga yang tinggi.

Penjual buah-buahan dilaporkan pada tahun lepas menjual sedozen mangga “Alphonso” yang sederhana saiznya dengan harga kira-kira 500 rupee (kira-kira RM30) sekilo. Kini harga sekilo sekitar 700 rupee (RM42) hingga 800 rupee (RM48).

Mereka berkata pada permulaan musim buah-buahan pertengahan Mac ini, mangga yang sama dijual pada harga 1,200 rupee (RM65), satu jumlah yang besar untuk mereka yang berpendapatan kecil.

Akhir kata, sekiranya anda merancang melancong ke mana-mana bandar di India dalam tempoh dua bulan akan datang, pastikan anda tidak ketinggalan daripada membeli dan menikmati keenakan raja buah India ini. – Bernama

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih