Penganjur Perhimpunan 16 Sept Tunggu Keputusan DBKL

Penganjur Perhimpunan 16 Sept Tunggu Keputusan DBKL

Kuala Lumpur – Penganjur ‘Perhimpunan Rakyat Bersatu’ pada 16 Sept ini mahu mengadakan perhimpunan itu di Padang Merbok di sini dan bukan di Bukit Bintang dan Petaling Street seperti dihebohkan sebelum ini.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd Ali Rustam, selaku penganjur, berkata pihaknya telah menyerahkan notis kepada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hanya menunggu keputusan.

“Setakat hari ini masih belum terima surat daripada DBKL untuk guna Padang Merbok…bila dapat nanti kita akan maklum kepada polis semula,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pertandingan akhir Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Katanya sekiranya tidak mendapat kebenaran menggunakan Padang Merbok, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mengadakan perhimpunan itu di tempat tertutup seperti Stadium Merdeka.

“Saya menjemput semua warga Pesaka termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ahli PAS dan semua rakyat Malaysia untuk sertai perhimpunan ini bagi mempertahankan nilai-nilai negara termasuk prinsip Rukun Negara,” katanya.

Mohd Ali berkata tiada warna khas ditetapkan untuk peserta perhimpunan dan pihaknya juga tidak mengedarkan baju-T.

Berhubung sebaran poster yang terdapat unsur pertumpahan darah, Mohd Ali berkata ia tiada kaitan dengan pihaknya.

Beliau turut menegaskan agar peserta yang hadir tidak membuat sebarang provokasi kerana bagi mengekalkan perhimpunan itu berada dalam keadaan aman.

Penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu dikatakan akan diadakan pada 16 Sept sebagai tindak balas terhadap perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lepas.

Sementara itu di KEPALA BATAS, anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penganjur perhimpunan itu perlu mematuhi undang-undang yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman.

“Saya tidak menentang sebarang bentuk kebebasan bersuara tetapi ia mesti dilakukan dengan cara yang betul, mengikut undang-undang dan peraturan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sukarelawan Malaysia di Kuala Muda di sini, hari ini.

Di BATU PAHAT, anggota MT UMNO, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata UMNO tidak menghalang mana-mana anggotanya menyertai perhimpunan itu dan mengingatkan agar mereka menjaga tatatertib dan tidak melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang.

“Himpunan ini pada dasarnya adalah untuk menyampai mesej bahawa rakyat sentiasa menyokong kerajaan dan jangan cuba untuk mencabar maruah dan kepimpinan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mencari Harta Karun Kembara Merdeka #sehatisejiwa Parlimen Sri Gading, di sini, hari ini, lapor Bernama.

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...