Penentang Najib Di Bawah Tapak Kaki Saya Kata Azwan Ali

Penentang Najib Di Bawah Tapak Kaki Saya Kata Azwan Ali

“KEPADA semua pihak yang menentang pemerintahan Perdana Menteri, mereka berada di bawah tapak kaki saya,” demikian kata Azwan Ali yang mahu dikenali dengan panggilan ‘Diva AA’ dalam temuramah eksklusif bersama Media Hiburan, hari ini.

Menurut Azwan, hak untuk menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hak mutlak beliau yang dijamin di bawah perlembagaan.

“Kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen,” kata beliau kepada Media Hiburan.

“Beberapa tahun lalu, saya hampir membenci Perdana Menteri kerana termakan dengan segala fitnah dan bidaah, tetapi saya bersyukur, saya kembali berpihak kepada kerajaan selagi Datuk Seri Najib tidak dijatuhkan apa-apa hukuman atas apa-apa pertuduhan di mana-mana mahkamah dalam Malaysia, mahupun di luar negara,” tambahnya lagi.

Sebelum itu, wartawan Media Hiburan menghubungi Azwan untuk mendapatkan kepastian mengenai laporan polis yang dibuat diva tersebut terhadap seorang pengguna Instagram.

Difahamkan, Azwan membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang selepas diugut di laman Instagram beliau @divaazwanavazz pada malam 17 Ogos 2015.

“Pada saya, tindakan suspek yang mengugut saya itu adalah biadap!

“Saya salute kepada PDRM kerana mengambil kes ini sebagai serius dan terjumlah di bawah kesalahan Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman dua tahun penjara atau lebih,” kata Azwan.

Azwan juga menasihatkan supaya pengguna Instagram tersebut dan pelayar lain yang bersikap anti Perdana Menteri supaya bermuhasabah diri sebelum meringkuk ke dalam penjara.

“Saya mendapat sokongan besar daripada sebahagian penyokong saya yang kini melebihi 95,000 orang dan saya siap menyeru agar semua berdoa, supaya kes ini sangkut sebagai pengajaran kepada semua.

“Saya juga kesal apabila perspektif saya ke atas Datuk Seri Najib dilaga-lagakan dengan perspektif oleh Menteri Besar Selangor kerana dalam soal politik, tiada ruang berkompromi tentang apa yang benar. Saya pertahankan dan menyokong Datuk Seri Najib bukan kerana menghadap mana-mana habuan daripada kerajaan.

“Azwan Ali hanya takut kepada ALLAH SWT, dan tidak perlu mengugut saya walaupun anda anti Perdana Menteri,” katanya menutup sesi perbualan. lapor Sinar Online.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih