Pendidikan Percuma dan PTPTN

Pendidikan Percuma dan PTPTN – KEADAAN pendidikan tinggi Malaysia pada hari ini banyak berpunca daripada penswastaan sektor tersebut. Ini bermula pada 1996 ketika Najib Abdul Razak merupakan Menteri Pendidikan dan Akta Pendidikan serta Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta diperkenalkan.

Setahun kemudian, PTPTN ditubuhkan. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberikan pelajar dana bagi melanjutkan pengajian. Ini membolehkan IPTS tumbuh seperti cendawan. Pada 2007, jumlah peruntukan yang diagihkan kepada IPTS mengatasi IPTA buat pertama kali dan trend ini kekal hingga hari ini.

Pada 2015, RM2.5 bilion diagihkan kepada IPTS berbanding RM1.7 bilion untuk IPTA.

Expert Market, sebuah laman web perniagaan mengumpulkan data yuran universiti daripada senarai Quacquarelli Symonds’ Top Universities bagi tahun akademik 2014/2015 dengan laporan Gallup Median Self-Reported Income tahun 2013. Purata yuran universiti di Malaysia menurut laporan mereka adalah AS$18,000.

Peratus gaji dibelanjakan untuk yuran universiti di Malaysia adalah 55 peratus. Sebagai perbandingan, peratusnya adalah Chile 73 peratus, Amerika Syarikat 53 peratus, United Kingdom 42 peratus, Singapura 36 peratus dan Jepun 18 peratus.

ptptn

Pendidikan Percuma dan PTPTN

Kerajaan Malaysia memberi respons bahawa ini tidak menggambarkan yuran IPTA, tetapi jika dibandingkan yuran IPTS angka ini masuk akal.

Pada masa sama, kerajaan memotong perbelanjaan untuk IPTA dengan drastik. Pada 2016, peruntukan IPTA dipotong RM1.4 bilion, 27 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peruntukan bagi biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajaran dipotong RM812 juta (23 peratus). Justeru, pelajar miskin yang bergantung kepada bantuan ini menjadi mangsa utama.

Bagi tahun berikutnya, peruntukan bagi 20 IPTA dikurangkan dari RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion (19.23 peratus). Maka tidak mengejutkan bahawa tempat yang ditawarkan di IPTA menjadi lebih sedikit.

Panel Penasihat Pendidikan Tinggi Parti Keadilan Rakyat – yang saya anggotai – menerima banyak aduan pelajar cemerlang tidak mendapat tempat atau luar bidang yang mereka pohon akibat trend ini.

Maka, pelajar yang menuntut peluang pendidikan tinggi di Malaysia mendapati jalan yang ada hanyalah di IPTS yang lebih mahal. IPTS juga menganggap PTPTN sebagai peluang mereka mendapat wang dengan mudah, sedangkan yang menanggung risiko mengutip hutang daripada mahasiswa apabila mereka tamat belajar.

Apabila ramai graduan berhadapan dengan pengangguran, gaji rendah dan kos sara hidup tinggi, maka kadar pembayaran semula PTPTN kekal rendah. Pada 2015, kadar pengangguran bagi mereka dengan pendidikan tinggi adalah 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus bagi mereka yang mempunyai pendidikan rendah atau tiada pendidikan formal.

Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang yang tidak terbayar bagi tahun tersebut mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6 peratus.

Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN telah menggunakan beberapa langkah. Ini termasuklah menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS, yang menjejaskan mereka daripada membuat pinjaman rumah atau kereta; menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar; menghentikan pemberian pinjaman penuh; dan menggalakkan pengeluaran simpanan KWSP bagi membolehkan graduan membuat bayaran.

Penyenaraian peminjam di bawah CCRIS dan menggalakkan pengeluaran wang persaraan yang berharga tidak memberi kesan yang positif, malah mendorong peminjam yang miskin terjebak dalam kitaran kepapaan.

Saya beranggapan pembayaran sepatutnya dibuat hanya selepas graduan mendapat gaji yang selesa – sebagaimana dibuat di United Kingdom dan Australia – mungkin, RM4,000 sebulan.

Bagi jangka masa panjang, jelas sekali PTPTN tidak boleh bertahan. Penyelesaiannya adalah pendidikan percuma untuk semua IPTA. Ini bukan angan-angan kosong tetapi realiti seperti di Finland, Sweden, Norway, Jerman dan Scotland.

Pelajar miskin sewajarnya diberi elaun sara hidup dan penginapan. Pada 2013, dianggarkan untuk memperkenalkan pendidikan percuma di Malaysia akan menelan belanja RM5 bilion setahun.

Kita juga sewajarnya membina lebih banyak IPTA untuk mengurangkan permintaan terhadap IPTS. Ini akan mengurangkan keperluan IPTS yang kurang berkualiti dan membolehkan hanya IPTS terbaik untuk kekal beroperasi.

Pada masa yang sama, kita boleh belajar daripada pengalaman Jerman yang membolehkan mereka melaksanakan pendidikan tinggi percuma dengan mengasaskan pendidikan teknikal dan vokasional yang menarik dan berkualiti bagi mengelak kebanjiran graduan universiti di pasaran. – Sinar Harian

* YB Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor

Facebook Comments

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

Dapatkan kisah terbaik terus ke dalam inbox email anda!

(Visited 14 times, 1 visits today)

Leave a Reply