Pendedahan DS Zahid Hamidi Jejas Kekuatan Kerajaan

Pendedahan DS Zahid Hamidi Jejas Kekuatan Kerajaan

ALOR SETAR – Pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai wujudnya usaha menggulingkan kerajaan BN menerusi cubaan mengadakan undi tidak percaya di Parlimen sangat tidak sesuai didedahkan kepada awam.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, tindakan itu akan menambahkan lagi ketidaktentuan persepsi awam terhadap keutuhan dan kekuatan kerajaan terutama dalam situasi negara yang pelbagai isu diviral dan diperdebatkan.

“Pada saya, isu sebegini harus diselesaikan secara rundingan terus dengan pihak atau tokoh terlibat. Ahmad Zahid menyatakan bahawa mempunyai maklumat berkenaan tokoh yang menganjurkan komplot itu, maka langkah yang boleh diambil adalah dengan berjumpa sendiri tokoh berkenaan.

“Selesaikan secara tertutup dan bersemuka. Tidak perlu hal komplot sebegini jika benar wujud sekalipun didedahkan kepada awam. Ia akan menambahkan lagi polemik pada negara,” katanya, semalam.

Menurutnya, keyakinan pasaran dan pelabur juga mungkin terjejas akibat pelbagai isu yang berlaku di negara ini.

“Di kala situasi ekonomi dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia sedang berlaku, sepatutnya pernyataan oleh menteri terutama timbalan perdana menteri harus lebih positif membawa keyakinan awam dan pasaran pada kerajaan BN, bukan sebaliknya.

“Saya yakin kerajaan BN telah banyak jasa dalam pembangunan masyarakat dan tidak mudah goyang dengan isu dan polemik pembangkang. Tetapi apa yang ditakuti boleh menjejaskan kerajaan BN ialah sikap dan permusuhan sesama tokoh dalam parti itu sendiri,” katanya.

Md Shukri berkata, pada masa ini anggota Kabinet BN perlu berlumba mempopularkan BN dengan imej positif dan bukannya memberikan gambaran seolah-olah BN boleh tumbang pada bila-bila masa termasuk dengan pendedahan komplot undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Komplot undi tidak percaya itu bukan mudah dilakukan dan saya yakin kerajaan BN akan terus kekal dengan mandat PRU13. Pendedahan maklumat dan isu sensitif oleh pemimpin negara kepada pengetahuan awam boleh merencatkan kestabilan negara,” katanya.

Tambahnya, sekiranya komplot menggulingkan kerajaan itu benar-benar wujud, maka ia harus segera dihentikan. lapor Sinar Online.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih