PENDEDAHAN !! Awas Umpan Gula-gula Culik Budak..

PENDEDAHAN !! Awas Umpan Gula-gula Culik Budak..

SEREMBAN – “Adik nak gula-gula tak?” Itu ayat yang digunakan sekumpulan empat lelaki dalam cubaan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Taman Satria, Senawang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 11.55 pagi Sabtu lalu, kanak-kanak terbabit yang ketika itu berjalan kaki bersendirian ke kedai untuk membeli kad tambah nilai telefon prabayar di sebuah kedai runcit, kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Bagaimanapun, langkah kanak-kanak itu terhenti apabila dia didatangi sebuah van berwarna putih dinaiki empat lelaki terbabit.

Menceritakan kejadian, bapa mangsa, Asok Daeng, 31, atau lebih dikenali dengan panggilan Syuk berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki paip singki rumahnya sebelum terkejut apabila anaknya balik ke rumah dalam keadaan menangis teresak- esak serta muka pucat ketakutan.

“Badan dia menggigil. Bila saya tanya kenapa, dia beritahu ada van putih dinaiki empat lelaki berhenti dekatnya ketika dia sedang berjalan kaki ke kedai.

“Kemudian salah seorang daripada lelaki itu turun dari van dan beri anak saya gula-gula. Anak saya ambil, tapi tiba-tiba lelaki itu tanya ‘adik nak ikut pakcik tak?’.

“Masa itulah anak saya nampak ada pisau di poket seluar bahagian belakang salah seorang daripada lelaki itu. Anak saya terus campak gula-gula itu dan dia terus lari pulang ke rumah,” katanya.

Syuk berkata, dia kemudian membawa anaknya mencari van putih yang diceritakan itu di sekeliling kawasan taman perumahannya, namun tidak jumpa.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anak sulungnya itu trauma dan sering kali menangis serta mengadu takut untuk ke sekolah.

“Saya percaya dia bukannya mengada-adakan cerita sebab budak-budak tak pandai menipu perkara macam ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Syuk, selama ini memang anaknya tak pernah pergi ke kedai seorang diri, malah dia selalu menasihatkan anaknya supaya jangan mendekati orang tak dikenali.

“Apa-apa pun kejadian ini memang jadi pengajaran kepada kami sekeluarga dan juga anak saya sendiri,” katanya yang bersyukur anaknya selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut kerana masih belum ada kesahihan dalam kes ini. Kemungkinan itu ada, tapi tiada keterangan atau lain-lain bukti sokongan.

“Kita masih mengumpul maklumat dan tindakan sudah pun dibuat. Masih terlalu awal untuk katakan kes ini adalah cubaan culik, tapi polis akan tetap menjalankan siasatan dan langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu-bapa supaya sentiasa mengawal dan menjaga keselamatan anak masing-masing dengan memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.

Menurutnya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 sekiranya ibu bapa didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga anak mereka.

“Elakkan anak-anak terutama yang masih kecil bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa yang dipercayai. Mengenai kes ini, saya nasihatkan supaya masyarakat bertenang dan jangan buat spekulasi yang boleh mencemaskan orang ramai,” katanya. lapor Sinar Online.

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

Dapatkan kisah terbaik terus ke dalam inbox email anda!