Pencuri Ala Ninja 74 Tahun Akhirnya Tumpas

Pencuri Ala Ninja 74 Tahun Akhirnya Tumpas – SELEPAS lapan tahun akhirnya polis di Osaka, Jepun, berjaya menahan ‘ninja’ berpakaian hitam dan memanjat dinding untuk memecah masuk rumah minggu ini, dan terkejut apabila mendapati pencuri itu ialah lelaki berusia 74 tahun.

Sejak beberapa tahun lalu, polis di Kawachi gagal menyelesaikan ratusan kes pecah rumah dengan petunjuk hasil rakaman CCTV menunjukkan jenayah itu dilakukan pencuri berpakaian hitam dan menutup muka seperti ninja.

Pencuri Ala Ninja 74 Tahun Akhirnya Tumpas

Namun, pencuri itu melakukan kesilapan Mei lalu, apabila tudung kepala dan penutup mukanya tertanggal membolehkan wajahnya dirakam CCTV.

Polis kemudian mengenal pasti lelaki itu sebagai Mitsuaki Tanigawa, 74, yang mempunyai rekod jenayah mencuri lalu mengintipnya untuk menahan lelaki itu.

“Lelaki itu dilihat meninggalkan rumahnya pada siang hari dan pergi ke sebuah apartmen kosong, menukar pakaian menjadi ninja menunggu malam.

“Dia tidak menggunakan jalan raya sebaliknya melalui kawasan sempit antara rumah dan berjalan di atas tembok,” kata seorang pegawai polis.

Berikutan itu, polis gagal mengekorinya ke tempat dia melakukan jenayah sebaliknya menunggunya pulang di apartmen kosong terbabit pada 4 pagi selepas Mitsuaki memecah masuk kedai elektronik lalu menahannya.

Mitsuaki didakwa melakukan 254 pecah rumah dan mencuri barangan bernilai 30 juta yen ($260,000) selama lapan tahun.

Dalam kenyataannya kepada polis, Mitsuaki memberitahu dia memerlukan hanya 10 minit untuk masuk ke dalam sesebuah rumah dan mencuri barangan ketika penghuni sedang tidur.

“Jika saya muda, saya tidak akan tertangkap,” kata Mitsuaki. – myMetro.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih