Pemandu Teksi, Penunggang Motosikal Maut di Kluang

Pemandu Teksi, Penunggang Motosikal Maut di Kluang

JOHOR BAHRU – Dua lelaki maut manakala seorang remaja lelaki cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 46, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Sri Lalang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata mangsa yang maut ialah pemandu teksi Zainuddin Md Rais ,70, dan penunggang motosikal Ramlan Kassan, 46.

Sementara itu, pembonceng motosikal Mohammad Syawal Ramlan, 19, cedera parah; penumpang kereta Myvi Norzazila Sabari, 30, cedera ringan manakala suaminya yang merupakan pemandu Myvi, Wan Hairul Nizam Mohammad Nordin, 30, dan anak mereka Qaireen Umairah, setahun tiga bulan, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 5.20 petang itu berlaku berpunca daripada pemandu teksi yang hilang kawalan lalu masuk ke laluan motosikal secara melintang di tengah jalan,” kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad berkata penunggang motosikal bersama dengan anaknya yang dipercayai dari Sri Lalang menghala ke rumahnya di Kluang tidak sempat mengelak teksi lalu merempuh bahagian sebelah kiri teksi berkenaan.

“Pada masa yang sama, datang sebuah kereta Myvi yang dinaiki satu keluarga dari arah Sri Lalang melanggar pula bahagian belakang motosikal itu,” kata beliau.

Mohamad berkata mangsa yang meninggal telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk bedah siasat dan Mohammad Syawal yang cedera parah turut menerima rawatan di hospital berkenaan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...