Pelajar Kita Di Luar Negara Tidak Akan ‘Kebuluran’ Kata Menteri

Pelajar Kita Di Luar Negara Tidak Akan ‘Kebuluran’ Kata Menteri

Bukit Fraser – Pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara tidak akan kelaparan kerana mereka dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz berkata, jumlah biasiswa yang diperuntukkan kerajaan tidak akan berkurang meskipun nilai mata wang negara lemah ketika ini.

“Saya tak fikir pelajar kita di luar negara akan kelaparan sebab dana tajaan kerajaan tetap disalurkan dengan jumlah sama. Kalau sebelum ini mereka terima 500 pound ia tidak akan dikurangkan kepada 400 pound.

“Kerajaan yang menanggung sebab itu saya tidak fikir pelajar tajaan kerajaan akan menderita kerana mereka masih dibiayai dengan jumlah biasiswa yang sama. Pada pendapat saya mereka tidaklah menderita sehingga tidak dapat beli makanan dan lain-lain kerana mereka tajaan kerajaan,” katanya ketika sidang media sempena lawatan ke Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nazri menyifatkan tidak logik sekiranya ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar di luar negara mendakwa menderita dan terkesan impak kejatuhan nilai ringgit.

“Sekiranya anak mereka tidak ditaja kerajaan ini bermakna ibu bapa berkemampuan dan sudah tentu bersedia menanggung risiko dan impak kejatuhan ringgit kerana pelajar yang tidak mampu akan mendapat biasiswa daripada kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan keluarga tidak akan menderita sebaliknya kerajaan yang merana kerana menanggung pembiayaan pelajar Malaysia di luar negara.

“Kalau kerajaan kurangkan atau potong biasiswa itu betul pelajar akan derita…maka masalah beban itu bukan ditanggung pelajar dan keluarga
mereka sebaliknya kerajaan.

“Jangan ingat kerajaan tidak duduk dan bincang kita juga merangka langkah- langkah untuk memastikan nilai mata wang kita kukuh sebab yang kena tanggungnya kita (kerajaan) bukannya pelajar-pelajar tajaan kita mereka tetap mendapat 50O pound.

“Tapi betullah yang pelajar persendirian memang akan ‘sakit’ namun apabila mereka pilih untuk hantar anak melanjutkan pelajaran ke luar negara itu bermakna mereka mampu manakala yang tak mampu itu kita bayar,” katanya.

Menurut Nazri, kerajaan tidak berdiam diri untuk mengukuhkan nilai ringgit.

“Kejatuhan mata wang ialah fenomena dunia, Malaysia bukan satu-satunya negara yang menghadapinya.

“Apa yang saya nak katakan kami (kerajaan) tidak gembira dan jangan fikir kerajaan hanya diam dan tidak berbuat apa-apa untuk kukuhkan nilai ringgit tapi kalau harga minyak jatuh salah kita ke?

Sekarang minyak Shell murah, salah kita ke? Bukan salah kita, mereka yang berperang di sana bukannya sebab kita,” katanya.

Beliau berkata,sektor pelancongan menerima kesan positif akibat kejatuhan nilai ringgit.

“Itulah bila saya cakap orang marah. Di Selangor sahaja sejak ringgit melemah sektor pelancongan meningkat 17 peratus sehingga Jun.

Hal ini kerana pelancong tempatan juga terpaksa bercuti dalam negara manakala pelancong luar dapat berbelanja besar di sini.

“Begitu juga dengan kos hartanah turut menyusut menyebabkan pembeli dan pelabur luar datang ke Malaysia.

Kos beli bangunan sejuta murah bagi orang luar tapi ia masih sejuta untuk kita, mungkin dulu mereka tidak mampu beli sekarang dah mampu,” katanya.

Selain itu, Nazri menyatakan keluaran produk pertanian, perladangan dan perikanan juga meningkat kerana kita tidak lagi bergantung kepada barangan import. Ikan, sayur, daging tidak lagi di ambil dari luar sebab industri pengeluaran kita diperkukuh.

“Jadi jangan marah, saya cuma beritahu kebenaran kerana perkara ini memang logik.

“Pelancong datang sebab duit kita lemah, ini fakta. Sebenarnya kalau kita duduk dan fikir proaktif ia akan membantu,” katanya, lapor Sinar Harian.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih