Nurul Izzah Akhirnya Mohon Maaf

Nurul Izzah Akhirnya Mohon Maaf

Shah Alam – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akhirnya memohon maaf setelah didesak banyak pihak yang mengecam tindakannya bergambar bersama anak perempuan Jamalul Kiram III, pemimpin yang dikaitkan dengan pencerobohan bersenjata di Sabah dua tahun lalu.

“Saya faham bahawa banyak keluarga anggota keselamatan yang gugur dalam pencerobohan Lahad Datu, masyarakat Sabah yang terkesan (dengan insiden itu) termasuk rakyat Malaysia amnya terguris dengan gambar saya bersama Jacel Kiram.

“Untuk itu, saya dengan ikhlas memohon maaf,” kata anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam masa yang sama berkata mereka yang hadir di pertemuan di Manila minggu lalu sebagai memberi sokongan kepada keputusan satu kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendesak pembebasan bapanya.

Katanya, sebagai ahli parlimen, beliau tetap mempertahankan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Malaysia.

Nurul Izzah turut menyatakan kesediaan untuk disiasat polis selepas beberapa laporan dibuat terhadapnya berhubung pertemuan bersama ‘puteri’ Sulu itu.

Minggu lalu gambar pemimpin PKR itu bersama Jacel menjadi viral di internet, malah umum menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak sensitif apatah lagi setelah Sabah diceroboh tentera bersenjata Sulu pimpinan Jamalul Kiram.

Seramai lebih 200 tentera Sulu menceroboh Lahad Datu kerana ingin menuntut wilayah Kesultanan Sulu, sehingga mencetuskan pertempuran dengan pihak keselamatan Malaysia.

Dalam kejadian pada Februari 2013 itu, seramai 68 penceroboh dan 10 anggota keselamatan Malaysia dilaporkan terbunuh. Sementara 173 lagi ditangkap dan 30, termasuk tiga penduduk Sabah, dihadapkan ke mahkamah.

nurul-jacel4

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...