Nasib Muhyiddin, Shafie Ditentu Petang Ini?

Nasib Muhyiddin, Shafie Ditentu Petang Ini?

KUALA LUMPUR – Nasib dua pemimpin tertinggi Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bakal ditentukan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan bermula jam 2.30 petang ini, di Menara Datuk Onn, di sini, sama ada berlaku penyingkiran atau sebaliknya.

Tumpuan pelbagai pihak lebih terarah kepada mereka berdua susulan rombakan Kabinet pada 29 Julai lalu menyaksikan tindakan drastik Datuk Seri Najib Tun Razak menyingkirkan mereka, masing-masing daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Walaupun khabar angin yang tersebar di media sosial minggu lalu kononnya enam pemimpin tertinggi Umno bakal disingkirkan, namun ia tidak menghalang Muhyiddin untuk turut serta dalam mesyuarat penting parti itu yang dijangka habis bermesyuarat jam 6 petang nanti.

Selain Muhyiddin dan Mohd Shafie, turut tersenarai dalam pemecatan itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan bekas Exco Perak, Datuk Hamidah Osman.

Sebelum ini, krisis dalaman Umno semakin membara apabila Muhyiddin secara terang-terangan menyerang dan mempersoalkan kredibiliti Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno susulan kelemahannya menangani isu syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kelantangan Muhyiddin sukar diterima oleh majoriti pimpinan tertinggi Umno apabila beliau menyarankan Najib meletakkan jawatan sebagai penasihat lembaga pengarah 1MDB yang kian menjerut kewibawaannya sebagai Perdana Menteri.

Isu 1MDB yang menjadi liabiliti kepada Umno juga turut disuarakan Muhyiddin sambil menyifatkan parti sukar bertahan dan mempertahankan kemenangan PRU13 sebagai kerajaan yang memerintah ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Umno Bahagian Cheras pada Julai lalu.

Apa pun, keputusan muktamad mengenai nasib mereka dalam Umno hanya akan diketahui pada sidang media selepas selesai mesyuarat MT Umno, petang ini.

‎Berikut adalah perkembangan terkini:

2.40 pm – Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaasin tiba di Menara Datuk Onn.

2.45 pm – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba.

‎2.48pm – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut kelihatan menghadiri mesyuarat MT Umno di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur, hari ini. lapor Sinar Harian.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih