Najib, Rosmah Didesak Isytihar Harta..

Najib, Rosmah Didesak Isytihar Harta..

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bertanggungjawab mengisytiharkan aset mereka dengan segera, kata badan pemantau anti rasuah hari ini, susulan pendedahan wang RM2 juta dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Rosmah, dalam satu kenyataan, hari ini.

“Ini salah satu jalan terakhir yang masih tinggal untuk Najib mengembalikan kredibiliti dan kepercayaan orang ramai yang makin susut,” kata Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel, merujuk kepada pendedahan The Wall Street Journal mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Penting untuk beliau mendedahkannya sekarang dan elakkan negara ini daripada terus menanggung malu kerana reputasi negara kini dihentam, berikutan skandal kewangan berterusan 1MDB dan selepas didedahkan pada 3 Julai yang RM2.67 bilion (AS$700 juta) dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib,” katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Gabriel berkata, akibat pendedahan itu, kedudukan Malaysia akan terus menjunam bergantung kepada ‘berapa banyak lagi yang disalahgunakan’.

“Malaysia tidak boleh bersaing di peringkat global, dan negara juga tidak boleh berharap untuk menjadi pemain antarabangsa yang hebat dan berjaya dalam ekonomi dan kewangan apabila buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang perdana menteri yang masih memegang jawatan dituduh terlibat dalam penyelewengan dan rasuah yang serius,” katanya.

Katanya, Najib perlu mencontohi negara Asia yang lain seperti Hong Kong dan Indonesia, yang melaksanakan sistem untuk memantau kegiatan mengayakan kakitangan awam secara haram.

WSJ melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada 1MDB disalurkan ke dalam akaun Najib. Ia juga memuat naik dokumen menunjukkan aliran wang itu bagi menyokong laporannya.

Najib menafikan mengambil dana awam untuk kepentingan peribadi, tetapi sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, beliau berada di bawah penelitian kerana wujud unsur yang tidak jelas dalam urus niaga firma milik kerajaan itu yang menanggung hutang RM42 bilion.

Gabriel berkata, keengganan Najib meletak jawatan atau mengambil tindakan terhadap WSJ dan laman web pemberi maklumat Sarawak Report menjejaskan profesionalisme dan integriti institusi utama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih