Modenas Karisma 125 – Ada Banyak Kelengkapan Yang Dapat Memudahkan Pengguna

Modenas Karisma 125 – Ada Banyak Kelengkapan Yang Dapat Memudahkan Pengguna | Ada satu ketika beberapa tahun yang dahulu, motosikal jenis skuter menjadi begitu popular di kalangan pengguna terutamanya model keluaran Suzuki, iaitu VS125 dan VS150, yang dijadikan platform untuk pelbagai gaya modifikasi. Bagi yang mempunyai bajet agak terhad, mereka pergi kepada model Modenas Karisma, yang mempunyai bentuk badan, serta kapasiti enjin yang hampir sama.

Modenas Karisma 125

Itu walaubagaimanapun adalah cerita sekitar 10 tahun yang lepas. Kini, dengan terdapatnya kerjasama di antara Modenas dan pengeluar skuter terkenal dari Taiwan iaitu Kymco, Karisma lahir semula, namun dengan bentuk badan yang berbeza, serta teknologi yang lebih maju.

Sekadar untuk pengetahuan, Karisma sebelum ini adalah sebuah skuter yang diambil daripada asas motosikal keluaran PGO Motorcycles, namun model terbaru ini menggunakan asas daripada motosikal Kymco. Kymco adalah sebuah syarikat yang juga berasal dari Taiwan, dan telah dianggap sebagai peneraju motosikal jenis skuter, di mana teknologi mereka turut dipakai oleh jenama motosikal lebih besar seperti Kawasaki dengan model J300 dan BMW dengan C650.

Modenas Karisma 125 – Ada Banyak Kelengkapan Yang Dapat Memudahkan Pengguna

Dengan itu, produk Modenas yang lahir dengan kerjasama Kymco ini sepatutnya boleh dipercayai, kerana bukannya sebuah produk betul-betul baharu yang masih di dalam percubaan, malah model asasnya juga sudah dijual di pasaran lain dengan nama Kymco Ace 9 atau Super Z.

Melihat kepada gaya yang dibawa, Karisma 125 ini boleh dikata tidak akan ketinggalan, namun tidak juga begitu moden. Kombinasi warna putih dan merah yang digunakan pada unit tunggang uji ini menjadikan ia nampak lebih sporty, dengan pembalut tempat duduk juga mempunyai jahitan benang warna merah.

Lampu hadapan motosikal ini masih lagi menggunakan mentol halogen, sama seperti kebanyakan pesaing di dalam segmennya, tetapi yang lebih menarik adalah lampu belakangnya. Selain kelihatan besar dan cukup terang, ia juga mempunyai gabungan pencahayaan light guide, berbentuk U pada kedua-dua belah dan menjadikannya kelihatan lebih unik. Modenas Karisma 125

Tetapi bagi saya, bahagian pemegang untuk penumpang belakang, atau ada yang memanggilnya spoiler pada motosikal ini kelihatan sedikit pelik, dan mendongak ke atas. Ia nampak seperti muncung bahagian dek kapal atau mahkota, tetapi di belakang.

Melihat kepada luaran motosikal ini juga, masih terdapat nama Kymco di beberapa bahagian seperti penutup transmisi dan angkup brek, tetapi Modenas juga masih meletakkan sentuhan mereka sendiri, selain pelekat, juga pada lambang hadapan, logo di panel meter dan kunci. Selain itu, saya juga mendapati, jika dibandingkan dengan Kymco Super Z yang dijual di Fiilpina, Karisma 125 ini kekurangan satu penyerap hentak di belakang. Modenas Karisma 125

Modenas Karisma 125

Walaupun begitu, setakat yang dirasakan sepanjang beberapa hari menggunakan motosikal ini, ia tidaklah begitu menjejaskan. Tiada keluhan yang didapati daripada penumpang, dan apabila dinaiki berseorangan, Karisma 125 cukup stabil untuk mengambil selekoh dalam cara yang berpadanan dengan tujuan ia dihasilkan.

Bahagian-bahagian plastik pada motosikal ini dilihat mempunyai kualiti yang boleh diterima dan dipasang dengan kemas. Cuma pada panel meter, anda akan dapat melihat grafiknya terlalu biasa dan seperti agak ketinggalan. Informasi yang dipaparkan juga agak terhad, dengan hanya ada meter kelajuan, tahap minyak, jarak perjalanan keseluruhan (odometer) dan operasi lampu tinggi dan penunjuk arah. Modenas Karisma 125

Tiada isu yang timbul untuk melihat informasi ini dengan jelas, tetapi anda tidak akan dapat mengira jarak perjalanan melalui trip meter. Bagi mendapatkan jarak perjalanan dengan satu isian penuh RM5 minyak Ron95, saya terpaksa mengambil gambar sebelum dan selepas, dan hasilnya adalah normal bagi sebuah skuter sebegini (dengan cara saya menunggang) iaitu sekitar 100 kilometer.

Satu perkara lucu yang berlaku sewaktu ingin mengisi minyak adalah saya tidak dapat menjumpai corong tangkinya. Selepas membayar di kaunter dan kembali ke motosikal, puas saya membelek hampir 5 minit untuk mencarinya kerana tiada di tempat biasa. Rupanya, ia betul-betul di depan mata, di bawah tengkuk pemegang, namun tersembunyi dengan kemas. Untuk membukanya, saya hanya perlu memulas kunci ke bahagian kiri.

Apabila corongnya berada di situ, ia menimbulkan tanda tanya lagi kepada saya, di mana pula tangki sebesar 4.6 liternya berada. Jika anda melihat dari tepi, bahagian bawah pelantar kaki motosikal ini agak gemuk dan saya menjangkakan ia terletak di situ. Ini adalah satu rekaan baik yang dihasilkan oleh Kymco, di mana ia dapat membantu menjadikan titik graviti motosikal ini rendah dan lebih ruang di bawah tempat duduk.

Oleh itu, di bawah tempat duduk, satu helmet biasa boleh diletakkan dengan selesa, dan masih terdapat ruang tambahan untuk barangan lain. Helmet saya, yang menggunakan pelindung hadapan jenis gelembung juga boleh masuk dengan mudah dan tempat duduk boleh ditutup kembali tanpa sebarang halangan. Ini adalah antara kelebihan Karisma 125, di mana kebanyakan skuter saiz sebegini, disebabkan ingin menjadikannya kompak, helmet tidak boleh disimpan di bawah tempat duduk.

Bagi memberikan kemudahan lagi kepada penggunanya, Karisma 125 juga menyediakan dua tempat barangan kecil di bawah tengkuk pemegangnya, dan ia cukup untuk menempatkan botol air atau barangan lain. Jika anda lebih gemar membeli milo ais ikat tepi, berbanding di dalam tin, penyangkut juga disediakan di situ. Sudah tentu, barangan lain juga boleh disangkut.

Penyangkut itu, jika anda lihat saiznya yang tebal dan tegap, sebenarnya ada sebab. Di dalamnya terdapat pengecas USB, di mana pastinya dapat menyenangkan hati pengguna untuk mengecas telefon ataupun barangan elektronik lain. Soket USB ini tersorok kemas, dan saya sendiri terlepas pandang, sehinggalah apabila sudah memulangkan motosikal, baru diingatkan semula oleh wakil Modenas.

Modenas Karisma 125

Karisma 125 digerakkan oleh enjin enjin 124.6 cc satu silinder berpenyejukan udara yang mampu menghasilkan 9.4 hp pada 7,500 rpm dan 9.0 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini masih lagi menggunakan sistem bahan api karburetor tetapi kuasa yang disampaikan masih terasa lancar dan boleh memecut baik apabila pendikit dipulas.

Dengan berat motosikal 113 kg, ditambah berat keseluruhan penunggang dan penumpang tidak sampai 150 kg, saya mendapati ia tidak bermasalah untuk digunakan dalam kebanyakan keadaan normal tunggangan di dalam bandar. Jika anda mengambil keputusan untuk menggunakan skuter ini di lebuh raya, anda tidak perlu risau mendapat saman laju kerana ia tidak akan dapat melebihi 110 km/j.

Brek yang digunakan – cakera di hadapan dan dram di belakang mampu menghasilkan kuasa henti yang mencukupi dalam keadaan biasa, namun tidak dilengkapi dengan sistem ABS. Untuk tayar, Karisma 125 didatangkan dengan tayar Kenda buatan China, dan ia dirasa masih lagi meyakinkan untuk berhadapan dengan pelbagai keadaan permukaan di negara kita termasuk sewaktu jalan basah dan mengambil selekoh. Namun, sudah pasti, di dalam pasaran terdapat banyak lagi tayar yang lebih baik.

Pendapat saya, pada harga RM5,278 termasuk GST, Karisma 125 tidak mempunyai banyak kelebihan daripada aspek itu, dan banyak model yang terletak dalam lingkungan sama boleh bersaing dengannya. Cuma yang lebih diharapkan, disebabkan Kymco itu sendiri satu jenama yang sudah dipercayai, Modenas sepatutnya dapat menyediakan khidmat selepas jualan yang baik untuk pengguna motosikal Modenas generasi baharu ini. – paultan.org

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

Dapatkan kisah terbaik terus ke dalam inbox email anda!