‘Mizah Alami Kejutan Budaya’ – Luahan Ibu

‘Mizah Alami Kejutan Budaya’ – Luahan Ibu – SABAK BERNAM – Seorang remaja perempuan sempat meninggalkan nota di bilik tidur sebelum dipercayai menghilangkan diri sejak pagi Isnin lalu. Kehilangan Nur Hamizah Abdul Rahman, 18, disedari ibunya, Noor Hayati Ab Wahab, 48, ketika ingin mengejutkan anak perempuannya itu menunaikan solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia dan suami ingin bersiap-siap ke sebuah bank di Hutan Melintang, Perak.

‘Mizah Alami Kejutan Budaya’ – Luahan Ibu

Noor Hayati yang menetap di Kampung Batu 2 Sepintas berkata, dia menemui sekeping nota dalam kertas tulisan tangan berdakwat merah di atas meja solek ketika mencari Mizah di rumah berkenaan.

“Dalam nota itu, Mizah minta kami jangan cari dia sebab dia nak cari ketenangan. Dia beritahu nak pergi ke rumah keluarga angkat di Perak,” katanya.

Menurutnya, pihak keluarga tidak tahu anaknya itu ada ibu angkat di Perak, malah mereka juga tidak tahu lokasi sebenar keluarga angkat tersebut selain buntu memikirkan punca sebenar tindakan anaknya itu.

Noor Hayati berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu sebelum ini menyambung pengajiannya peringkat sijil di sebuah kolej swasta.

“Tetapi, atas sebab-sebab tak dapat dielakkan Mizah terpaksa berhenti dari kolej berkenaan,” katanya.

Katanya, Nur Hamizah yang tidak lagi ke kolej sejak sebulan lalu mengalami perubahan sikap apabila pulang ke rumah.

“Sejak balik ke rumah, Mizah banyak menyendiri dan tak banyak bercakap. Mungkin Mizah alami kejutan budaya bila dia belajar dan tinggal di asrama di kawasan bandar.

‘Mizah Alami Kejutan Budaya

Nur Hamizah meninggalkan nota sebelum menghilangkan diri.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan Mizah dipengaruhi seseorang sehingga sanggup melarikan diri dari rumah,” katanya.

Katanya, pihak keluarga termasuk keluarga terdekat berusaha mencari anaknya di beberapa tempat termasuk ke Sungai Samak dan Hutan Melintang, namun sehingga kini tiada khabar berita.

“Sebagai ibu tentulah saya risau soal nyawa dan keselamatannya, bagaimana makan dan minumnya, di mana dia berada dan dengan siapa?.

“Jadi, saya merayu agar Mizah kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.  Saya juga merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat tentang anak saya supaya menghubungi saya di talian 0176417021 atau memaklumkan kepada balai polis berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kehilangan mangsa.

Katanya, pihaknya sedang giat menjalankan siasatan. – Sinar Harian

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih