MISTERI Kehilangan Pemuda Akhirnya Terjawab

MISTERI Kehilangan Pemuda Akhirnya Terjawab

Setiu – Seorang pemuda warga Thailand yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemui selamat di dalam hutan Bukit Munduk di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Elias Abu Bakar, berkata Yaya Cheh Omar, 24, dijumpai kira-kira 1 tengah hari ini pada jarak 200 meter dari kawasan rumah kongsinya.

Katanya, pemuda itu yang bekerja sebagai penjaga kebun ditemui lemah dengan beberapa kesan kecederaan ringan pada bahagian kaki dan tangan.

“Kami terpaksa meminta bantuan abangnya menggunakan pembesar suara untuk memujuk mangsa keluar dari tempat persembunyian sebelum membawanya ke Hospital Setiu untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Elias berkata, operasi mencari Yaya membabitkan kawasan kebun sawit, kebun getah dan paya oleh polis bersama anjing pengesan, bomba serta penduduk kampung selain turut dibantu 26 orang pegawai dan anggota daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 8 Kelantan.

Katanya, pemuda itu dipercayai melarikan diri ke dalam kawasan hutan itu selepas mengalami gangguan histeria dan siasatan mendapati dia mempunyai dokumen perjalanan yang sah, lapor Bernama.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih