LUAHAN… ‘Gua’ Tak Puasa di Low Yat!

LUAHAN… ‘Gua’ Tak Puasa di Low Yat!

PERGADUHAN di Low Yat dikatakan bermula apabila Muslim berasa dirinya tertipu kerana telah membeli telefon bimbit yang tidak original di Low Yat. Ini perspektif pihak pembeli.

“Xifu, dia patut mengamuk sebagai pembeli!” sahabat saya membela pembeli itu. Saya ingatkan sahabat saya bahawa Nabi SAW telah mengajar mereka yang berpuasa untuk mengawal nafsu marahnya. Katakan pada diri sendiri, “ana saa’im” yang bermaksud “Saya berpuasa” apabila rasa nak marah!

Tetapi sahabat saya senyum dan berkata, “Amuk pada kaafiruun takpe untuk “tunjuk ajar”! Perang Badar di bulan Ramadan maa!”

Tapi ini bukan kali pertama amuk dalam bulan ini. Dalam bulan Ramadan yang mulia ini juga, hampir 100 Muslim yang berpuasa serang beberapa wakil rakyat DAP. DAP tak buat apa-apa. Mereka tidak menghasut. Tiba-tiba dikasari secara fizikal. Apa yang ditunjuk ajarkan pula?

Mungkin sahabat saya akan kata bahawa DAP terdiri daripada kafir harbi pula!

Bagaimana dengan ‘amuk mental’ apabila sebahagian mengamuk di sosial media bahawa seekor babi dipakaikan songkok dan baju Melayu?

Pada hakikatnya, ia bukan babi tapi seekor beruang. Di sini kita lihat bagaimana amuk mental membuat seseorang hilang pertimbangan sehingga tak dapat bezakan antara beruang dan babi. Apa pula alasan sahabat saya?

Tunjuk ajar apa pula kali ini? Mungkin dia akan berkata bahawa amuk mental ini adalah wajar untuk menjaga agama Islam dan Melayu dari dihina.

Saya suka komen Ustaz Hazizi dari ISMA bahawa samseng-samseng Cina yang jual telefon bimbit klon ini adalah kebal di sisi undang-undang. Mengapa kebal?

“Hakikatnya mereka dilindungi oleh pengkhianat bangsa Melayu sendiri, yang menjual maruah bangsa untuk mendapatkan sedikit laba di dunia.” Saya tanya, “Mengapa tidak amuk pada pengkhianat-pengkhianat bangsa ini?”

Bagi saya, samseng-samseng pakar klon ini ada pada semua bangsa. Ini bukan soal bangsa. Ini soal sifat manusia yang tamak haloba. Bezanya ialah tamak pada bidang yang berbeza-beza. Ada yang jual telefon bimbit klon.

Tetapi ada juga yang jual ajaran agama yang klon, bukan ori. Tidak pula saya nampak amuk terhadap ustaz-ustaz yang jual ajaran agama yang klon.

Kita begitu sabar sekali bertoleransi dengan sebahagian ustaz-ustaz klon ini walaupun kita tidak berpuasa! Yup, walaupun kita tidak berpuasa, kita baik sangka dengan yang gelarkan dirinya ustaz. Tetapi seorang badwi Cina yang jual telefon bimbit klon, sudah tentu ada yang akan belasah dulu, baik sangka kemudian.

Ini kerana fardu ain yang kita belajar hanya skop ibadah khusus sahaja, bukan berdasarkan sikap menjaga maslahat berdasarkan Maqasid Syari’ah seperti yang saya telah bincangkan pada artikel minggu lepas.

Maqasid yang pertama ialah menjaga agama kita. Apa maksud menjaga agama kita? Kita disuruh pilih isteri yang menjaga agamanya, bukan sekadar berdasarkan hartanya, kecantikannya dan keturunannya.

Menjaga agama adalah mengutamakan usaha untuk melihat diri kita sebagai Muslim dalam setiap aspek kehidupan. Kita sepatutnya melihat diri kita sebagai Muslim dahulu di Low yat, bukan sebagai Melayu atau Cina.

Apabila kita melihat diri kita sebagai Melayu, kita akan amuk. Apabila kita melihat diri kita sebagai Cina, kita akan jadi samseng.

Apabila kita melihat diri kita sebagai Muslim, kita akan jadi insan yang jaga puasanya dan berlaku adil. Kita kena siasat dulu sebagai Muslim, pihak mana yang salah tidak kira bangsa dan agama.

Kalau penjual yang salah, kita juga kena tanya soalan mengapa pembeli berkenaan pergi ke Low Yat yang memang terkenal sarang klon untuk membeli telefon bimbit?

Kalau penjual yang salah, adakah kedai dia sahaja yang jual klon atau memang Low Yat sarang klon? Kalau Low Yat sarang klon, adakah masalah ini sebenarnya kembali kepada pihak berkuasa yang tidak telus pelaksanaannya?

Adakah pembeli sudah hilang kepercayaan kepada birokrasi kerajaan sehingga mengambil keputusan di tangan sendiri?

Lihatlah diri kita sebagai Muslim di Low Yat. Jangan hanya melihat diri kita sebagai Muslim semasa di masjid sahaja. lapor Sinar Online.

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...