Luahan Erra Fazira “Bagi Saya Perubahan Ini Satu Anugerah Yang Terindah”

Luahan Erra Fazira “Bagi Saya Perubahan Ini Satu Anugerah Yang Terindah”

Sejak akhir-akhir ini, industri hiburan tempatan menunjukkan perkembangan yang baik apabila ramai selebriti wanita memilih untuk tampil berhijab.

Biarpun ada yang melihat ia sebagai satu trend, namun rata-rata yang memilih untuk berhijab menegaskan bahawa penghijrahan mereka dilakukan kerana ALLAH SWT.

Begitu jugalah dengan figura yang pernah terkenal dengan jolokan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira.

Sejak tampil berhijab awal Jun lalu, ramai peminat dan rakan menyambut baik perubahan yang dilakukan aktres berusia 41 tahun ini.

Namun dalam khabar gembira yang diterima, timbul berita kurang enak yang mengatakan Erra Fazira mula mengenakan tudung kerana permintaan penyanyi Shahir (AF8).

Bahkan Shahir juga dikatakan banyak membantu Erra Fazira dalam melakukan perubahan untuk bertudung.

“Ya, saya tahu mengenai perkara itu dan ia sama sekali tidak betul. Penghijrahan saya berlaku bukan atas sebab sesiapa.

“Saya berterima kasih kepada ALLAH SWT kerana Dia bukakan pintu hati saya untuk berubah kerana Dia.

“Malah saya sendiri tidak mahu berubah kerana orang dan saya rasa lebih sukar untuk kita berubah kerana kita berubah sebab orang,” katanya ketika ditemui media pada majlis persembahan fesyen Safari Fauna Mimosa Raya 2015 rekaan Bianco Mimosa di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Menerusi sebuah akhbar mingguan dalam ruangan pojok melaporkan, penghijrahan Erra Fazira dilakukan kerana mendapat sokongan Shahir.

Shahir yang kini sepi daripada industri hiburan telah membuka kelas fardu ain di kampungnya, Perak, manakala Erra Fazira pula pernah memberitahu individu pilihan hatinya mempunyai ilmu pengetahuan yang mampu membimbingnya di dunia dan akhirat.

Menyifatkan perubahan yang berlaku sudah lama difikirkan, pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek ini bersyukur kerana ia berlaku dalam tempoh yang lebih cepat.

“Alhamdulillah saya semakin tenang dan gembira dengan penampilan sekarang. Tidak ada komen negatif yang diterima.

“Paling penting saya selesa dan dalam masa masih menyesuaikan diri dengan imej saya sekarang. Buat masa ini tidak ada spesifik imej yang akan saya bawakan. Fesyen nanti akan datang dengan sendiri bila saya dah mula biasa dengan imej ini.

“Saya juga bersyukur kerana ALLAH ketuk pintu hati saya lebih awal. Saya memang sudah lama mahu bertudung tapi saya tidak sangka akan berubah lebih awal.

“Bagi saya perubahan ini adalah satu anugerah yang terindah dan bukan semua orang berpeluang menerima anugerah ini,” katanya.

Bukan sahaja mendapat respons yang positif daripada keluarga dan rakan-rakan, anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 6, juga teruja melihat perubahannya itu.

“Aleesya antara orang paling seronok melihat perubahan ini. Lagipun sebelum ini dia pun ada lihat ibunya bertudung ketika menghadiri pelbagai aktiviti.

“Bagaimanapun, peralihan ini juga bukan datang dalam sekelip mata. Banyak perubahan yang perlu dilakukan secara perlahan-lahan,” katanya.

Mohon sokongan

Dalam pada itu juga, Erra Fazira turut meminta orang ramai supaya tidak menghentam dirinya jika ada tersalah dalam proses penghijrahan ke arah yang lebih baik ini, namun tidak menolak jika ada teguran yang baik untuk dirinya.

“Saya tahu ada yang menyifatkan perubahan sesetengah selebriti kerana trend. Tapi bila mereka fikir sebegitu, ia telah menjadi satu dosa kerana saya percaya semua yang berubah, berubah kerana ALLAH.

“Kita sepatutnya mendoakan dan saya percaya perlahan demi perlahan saya dan mereka yang berhijrah akan melakukan perubahan mutlak.

“Janganlah menghentam, menegur tidak salah, tapi biar berhemah. Yang penting penghijrahan itu dalam diri,” jelasnya.

Di tebak respons sekiranya ada peminat mengikut langkahnya berhijab, Erra Fazira berkata, ia adalah satu petanda yang baik.

“Saya tidak pasti tentang itu tetapi andai kata peminat berhijab kerana saya, Alhamdulillah. Ia satu impak yang bagus.

“Tidak mengapa jika seseorang itu berhijab kerana mengikut idola mereka kerana saya percaya ALLAH akan lahirkan rasa cinta dengan hijab dan sekali gus individu itu akan tahu tanggungjawab dan batas-batas mereka.

“Apa yang penting kita doakan mereka terus istiqamah dan kekal bertudung selepas itu,” katanya.

Belum merancang untuk menjual segala baju atau koleksi rambut palsunya, Erra Fazira bagaimanapun tidak menolak untuk menghadiahkan dan menjual bagi tujuan amal suatu hari nanti.

Perlahankan karier seni?

Sementara itu, ditanya perjalanan karier seninya selepas ini, Erra berkata, dia tidak merancang untuk bersara, apatah lagi, industri seni sememangnya menjadi sumber rezekinya selama ini.

Bagaimanapun sama seperti selebriti wanita lain yang telah berhijab, dia akan meletakkan batasan dan menerima tawaran yang sesuai, lapor Sinar Harian.

“Kalau nak ikutkan tapisan, sejak sebelum bertudung lagi saya dah mula selektif dengan tawaran.

“Bagi saya apa yang penting kita tahu batasan dan tawaran yang datang mestilah bersesuaian dengan imej dan juga masa,” katanya.

Erra-Fazira-tudung

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

One Response