Lelaki Ini Pernah Merempat di Jepun Namun Kini Menjadi Naib Presiden Syarikat Kenderaan

Lelaki Ini Pernah Merempat di Jepun Namun Kini Menjadi Naib Presiden Syarikat Kenderaan

Bagi pemilik kenderaan jenama Honda di Malaysia, pastinya pernah terlihat wajah kacak Mohamed Akkbar Danial di buletin Honda ataupun pada laporan media mengenai jenama tersebut.

Honda, jenama nombor satu di Malaysia (bagi kategori bukan nasional) dan nombor dua bagi keseluruhan pasaran tempatan (di belakang Perodua) telah membuka mata ramai akan prestasi syarikat kecil ini. Ya, Honda Malaysia sebenarnya ialah sebuah syarikat yang kecil, dan kini menjadi satu-satunya cawangan Honda di seluruh dunia yang berjaya mendahului Toyota dan menduduki tangga pertama dalam pasaran jualan kenderaan bukan nasional.

Careta bersama dengan Honda di Chiang Mai, Thailand untuk sesi pandu uji model generasi kesepuluh Honda Civic dan sambil itu, sempat duduk sebentar bersama Akkbar, yang Careta kenali ketika beliau menjadi pengurus perancangan produk dengan model Honda Civic generasi kelapan.

Beliau ialah contoh yang baik akan semangat kental anak muda tempatan yang berada di negara asing tetapi masih mampu untuk berdiri tinggi dengan kejayaan karier sebelum kembali ke tanahair.

Ikuti wawancara Careta bersama Akkbar dan semoga ia menjadi ikutan kepada semua, terutama anak-anak muda yang sedang belajar.

  • Berusia 43 tahun, Akkbar berasal dari Kuala Kerai dan kini menetap di Ara Damansara bersama isterinya, Dolina Hussein dan tiga orang cahaya mata, berumur tiga, lapan dan 11 tahun.
  • Sekolah pertama beliau ialah SK Sultan Yahya Petra, dan kemudian mengikut ibunya, seorang guru sekolah ke SK Banggol Gucil. Ayah Akkbar bekerja sebagai Ketua Kerani di pejabat tanah daerah Gua Musang. Ayah berasal dari Machang sementara ibunya berasal dari Kuala Pilah.

WhatsApp-Image-20160512

Akkbar, barisan bawah, dua dari kiri.

  • Kemudian, Akkbar melanjutkan pelajaran beliau di Sekolah Menengah Sains Dungun, Trengganu.
  • Habis SPM, beliau menerima telegram dari JPA dan ditawarkan menyambungkan pelajaran di Jepun. Sebenarnya, selepas melihat abangnya yang belajar di New Zealand, Akkbar berangan untuk menyambungkan pelajarannya di Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Jepun langsung tiada di dalam angan-angan beliau.
  • Ibu Akkbar sebenarnya mahukan Akkbar menjadi seorang doktor, dan itu merisaukan Akkbar kerana kononnya tidak kena dengan jiwa jurutera beliau. Yang sebenarnya, Akkbar takutkan darah!
  • Akkbar ialah anak keempat dari lima adik beradik, dan kesemuanya lelaki.
  • Akkbar tinggal di Jepun selama 12 tahun.
  • Pada malam pertama dia tiba di Jepun, Akkbar keluar untuk menelefon ibunya pada jam 11 pm (waktu murah untuk panggilan antarabangsa) tetapi ditahan oleh polis. Beliau dibawa ke balai polis kerana tidak dapat menerangkan kepada polis bahawa beliau bukannya berasal dari Iran dan beliau ialah seorang penuntut yang baru hendak mendaftar ke universiti. Akibat kejadian ini, Akkbar berazam untuk belajar bahasa Jepun dan sekarang, orang Jepun sendiri berkata bahasa Jepun Akkbar lebih bagus dari orang Jepun sendiri!

WhatsApp-Image-20160512 (5)

  • Akkbar menghabiskan pengajian peringkat Associate’s Degree (Ijazah Bersekutu) di Toyota National College of Technology dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik selama tiga tahun.
  • Seterusnya beliau meyambungkan pengajian beliau dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (Sarjana Muda) di Nagaoka University of Technology.
  • Akkbar lulus dengan cemerlang dan professornya meminta beliau untuk sambungkan pelajaran ke taraf Masters. Sayangnya ia berlaku dalam tahun 1997 ke 1998, di mana kegawatan ekonomi menghalang Akkbar untuk mendapat sebarang biasiswa ataupun pinjaman dari badan kerajaan negara.
  • Akkbar tetap tidak berputus harap dan setia menunggu dengan harapan beliau akan mendapat sumber pembiayaan pendidikan beliau. Oleh kerana itu, beliau tidak mencari pekerjaan. DI Jepun, lazim untuk mahasiswa tahun akhir keluar mencari pekerjaan sebelum pengajian berakhir. Ini selalunya berlaku dalam bulan April. Akkbar menunggu sehingga Oktober, di luar musim mencari kerja.
  • Oleh kerana sumber kewangan terhad, Akkbar terpaksa mencari kerja di dalam bulan Oktober dan beliau diterima bekerja di sebuah kilang benang, sebuah industri yang semakin malap ketika itu di Jepun.
  • Kilang benang itu beribu-pejabat di Osaka tetapi Akkbar dihantar ke cawangan mereka di Totori. Syarikat itu merancang untuk melatih Akkbar dan kemudian menghantarnya balik ke Malaysia kerana ia mempunyai sebuah kilang di Trengganu.
  • Walaupun Akkbar diterima bekerja sebagai jurutera, beliau lebih diarah membuat kerja-kerja yang lain dan Akkbar mulai bosan. Beliau nekad untuk berhenti kerja selepas lima bulan di situ.
  • Ketika itu, Akkbar mulai sedar bahawa visa yang dipegangnya hanya membolehkan beliau bekerja sebagai jurutera sahaja. Hendak bekerja di 7-Eleven pun dia tidak akan diterima. Ditambah lagi ketika itu baru bulan September dan musim mencari kerja ialah pada bulan April.
  • Menambahkan lagi masalah Akkbar, beliau cuma ada seratus ke dua ratus Ringgit di dalam poketnya – nilai yang sangat kecil di Jepun. Akkbar sekali lagi nekad – dengan sebuah beg sandang, beliau mengembara pulang ke Nagaoka dalam keadaan sedih dan aib.

WhatsApp-Image-20160512 (4)

  • Sebagai seorang senpai (senior), Akkbar rasa sangat malu dengan kegagalan beliau. Sampai di Nagaoka, beliau terpaksa meminta simpati “kohai” atau junior beliau, iaitu rakan-rakan yang lebih muda dan masih lagi belajar. Beliau bernasib baik kerana dua orang kohai-nya menawarkan Akkbar tempat tinggal sementara Akkbar mencari peluang pekerjaan. Sehingga hari ini Akkbar ingat akan jasa kedua mereka, Fauzi dan Najib.
  • Oleh kerana beliau tidak berduit, Akkbar membantu kedua rakannya dengan cara memasak dan mengemas rumah. Beliau memang rasa sangat murung dan hampa kerana dari seorang yang berjaya dalam pelajaran, kini beliau terpaksa merempat meminta belas kasihan rakan.
  • Suatu hari, beliau berjalan dengan beg sandangnya ke universiti lamanya, mencari rakan-rakan dan peluang kerja. Setiausaha untuk salah seorang professornya terserempak dengan Akkbar dan bertanyakan apa yang Akkbar buat di situ. Setiausaha itu mendengar kisah Akkbar dan menyuruh Akkbar berjumpa dengan professor.
  • Esoknya, Akkbar berjumpa dengan Professor Kiyoshi Yatsui, orang yang menyuruh Akkbar menyambungkan pelajaran beliau di Jepun untuk membuat program Masters. Professor Kiyoshi Yatsui ialah salah seorang professor yang sangat disegani di universiti itu dan terkenal di seluruh dunia kerana ujikaji plasma beliau.
  • Professor Kiyoshi Yatsui sangat marah dengan apa yang berlaku, tetapi kemudian sejuk hati apabila mengetahui masalah kewangan Akkbar. Lantas beliau menawarkan bantuan kepada Akbbar untuk mencari pekerjaan, “Saya akan bantu awak untuk cari pekerjaan. Di mana awak hendak bekerja? Saya akan carikan,” ujar Professor Kiyoshi.
  • Secara kebetulan, suami kepada setiausaha Professor Kiyoshi ialah seorang pengurus besar di syarikat semi konduktor Nemic Lambda. Professor Kiyoshi terus meminta bantuan dan Akkbar dikehendaki pegi ke ibu pejabat syarikat itu dan melalui ujian bertulis. Beliau lulus ujian dengan cemerlang dan terus ditawarkan bekerja.
  • Syarikat itu tidak terus memberikan jawatan jurutera kepada Akkbar. Beliau dihantar ke sebuah pusat pengagihan stok di Shiga, dan beliau bekerja seperti buruh kasar di sana. Selepas tiga bulan, Akkbar bukan sahaja berjaya bekerja dengan cekap, tetapi terus menjadi rakan baik kepada komuniti di Shiga. Akkbar terus dipanggil balik ke ibu pejabat.
  • Akkbar masih tidak lagi diberikan jawatan jurutera, tetapi kali ini disuruh menjadi juruteknik mencari punca kerosakan teknikal komponen produk syarikat (produk syarikat ketika itu ialah “Uninterrupted Power Supply” atau UPS).
  • Ketika itu syarikat Jepun Advantest menjadi salah satu pelanggan besar syarikat Nemic Lambda. Beratus-ratus unit UPS mereka mempunyai masalah dan perlu diperbaiki. Akkbar dipanggil untuk ke Advantest untuk melakukan operasi baik-pulih itu. Di situ, Akkbar melalui satu kejadian yang sekali lagi menguatkan semangatnya untuk bekerja.
  • Ketika tiba di Advantest, seorang pengurus berbangsa Jepun terus memberi amaran kepada pekerjanya di dalam bahasa Jepun untuk memerhatikan “gaijin” atau bangsa asing itu, sambil menunjuk ke arah Akkbar. Pengurus itu tidak tahu Akkbar sangat fasih berbahasa Jepun, dan Akkbar hanya tunduk diam dengan rasa terhina.
  • Selepas seminggu, kerja Akkbar sudah siap dan mutu kerjanya dipuji oleh Advantest. Pengurus yang memberi amaran kepada pekerjanya datang berjumpa dengan Akkbar, dan dengan rasa sangat malu dan sedih, meminta Akkbar mengampunkan kesalahan beliau kerana tidak percaya kepadanya. “Jika kami perlu berurusan dengan syarikat Nemic Lambda, orang yang saya akan panggil ialah anda Akkbar!” Itu janjinya, sebagai tanda hormat beliau. Ketika itu, Akkbar sedar beliau sudah diterima sebagai salah seorang dari mereka, salah seorang dari bangsa Jepun.

WhatsApp-Image-20160512 (3)

  • Selepas itu karier Akkbar terus melonjak naik. Beliau dinaikkan pangkat kepada jurutera penuh dan kemudian dihantar ke kilang Nemic Lambda di Jaya Gading, Kuantan, Pahang selama enam bulan. Usia beliau ketika itu baru 27 tahun, dan pada mulanya kakitangan Nemic Lambda di Kuantan berharap sebagai rakyat Malaysia, Akkbar boleh memberi sedikit ruang lega kepada kualiti kerja mereka di sana. Akkbar faham dilema yang dihadapinya, tetapi beliau tetap menjalankan tugasan beliau. Beliau menjadi “rakyat Jepun” dan memberikan tekanan yang kuat tanpa belas kepada kilang itu untuk kembali pulih. Selepas enam bulan di sana, kilang itu kembali sempurna dan Akkbar pulang balik ke kampungnya, Jepun.
  • Akkbar sebenarnya sudah lama meminati Honda. Kereta pertama dibelinya ialah Honda EG, dan selepas tiba dari Malaysia atas tugasan kilang di Kuantan itu, kereta beliau tertimbus di bawah bukit salji selama enam bulan. Kesemuanya rosak, dan beliau terpaksa menghantar keretanya untuk dilupuskan (scrap).
  • Sebagai ganti, beliau hendak membeli sebuah Honda CR-V (generasi pertama). Beliau pergi ke ATM untuk mengeluarkan duit dan Akkbar terkejut seketika melihat jumlah wang simpanannya. Selama ini, Akkbar hanya tahu bekerja dan bekerja dan tidak pernah hirau akan berapa simpanannya. Akkbar hiba melihat sejumlah besar duit simpanan di dalam akaunnya. Dari seorang yang pernah merempat, kini Akkbar sudah mula senang dan beliau terus membeli CR-V yang diminatinya (sedikit unik kerana selalunya, anak Melayu di Jepun akan membeli Honda Integra atau Honda Prelude, tetapi Akkbar memang tua sebelum waktunya dan sangat meminati CR-V). Sehingga kini, Akkbar tetap akan mempunyai sebuah CR-V di rumah, dari generasi pertama sehingga ke generasi terkini.
  • Akkbar juga meminta pelepasan dari JPA untuk terus bekerja di Jepun, tetapi sebagai syarat, Akkbar perlu menjadi Abang Long kepada pelajar-pelajar Malaysia di bandar beliau, sesuatu yang beliau memang mahu lakukan. Siapa tak kenal senpai Akkbar yang garang!
  • Karier Akkbar terus menjulang naik di Jepun dan beliau menjadi rebutan beberapa syarikat, termasuk pelanggan-pelanggan utama Nemic Lambda sendiri. Semuanya berjalan dengan sempurna sehingga pada tahun kesebelas Akkbar di Jepun, seorang sahabat sekerjanya membunuh diri kerana tekanan kerja yang terlalu tinggi. Kejadian itu membuka mata Akkbar kerana beliau bekerja rapat dengan mendiang.
  • Akkbar mula hilang punca dan merasai tiada lagi sebab kenapa beliau perlu tinggal di Jepun. Pada masa yang sama, beliau berkenalan dengan isterinya yang dijumpai dalam dunia IRC di saluran Alamak. Percintaan mereka berdua menambahkan lagi keinginan Akkbar untuk kembali ke Malaysia.
  • Akhirnya, selepas 12 tahun menjadi rakyat Jepun, Mohamed Akkbar Danial kembali ke Malaysia walaupun ditawarkan kenaikan pangkat dan pelbagai lagi peluang di Jepun dan di Amerika Syarikat.
  • Setibanya di Malaysia, Akkbar bertugas sebagai penasihat untuk sebuah syarikat Jepun di Johor. Selepas setahun, beliau ke Kuala Lumpur dan menetap di sana sambil bertugas sebagai penterjemah sambilan dengan gaji RM2,000 sehari. Oleh kerana kerja yang mudah, Akkbar menjadi kurang disiplin dan Akkbar tahu ini tidak sepatutnya berlaku. Akkbar terus mencari kerja tetap sebagai penterjemah teknikal bertaraf profesional untuk sebuah kilang di Sungai Way, Petaling Jaya.
  • Sebulan selepas itu, junior Akkbar di Jepun, Shahrul M Azmi menelefonnya dan memberi perkhabaran bahawa ada peluang pekerjaan di kilang Honda di Peguh, Melaka. Akkbar yang mahukan pekerjaan dengan sebuah organisasi besar terus bersetuju untuk memohon.
  • Ketika di Melaka, para pegawai atasan Honda Malaysia sudah mendengar perkhabaran Akkbar dan Presiden Honda Malaysia ketika itu, Seiji Kuraishi yang turun sendiri untuk menemuramah Akkbar. Kuraishi kini ialah Timbalan Presiden bagi Honda Global di Jepun.
  • Akkbar berkata beliau mahu mencuba bekerja di dalam bidang pemasaran, tetapi Kuraishi bertanyakan apakah pengalaman Akkbar dalam bidang itu. “Tiada pengalaman tuan,” jawab Akkbar, “Tetapi saya cepat belajar dan saya akan belajar bidang itu dengan segera.” Berbekalkan bahasa Jepun yang sangat bagus, dan pengalaman bekerja di Jepun yang lama pada jawatan yang tinggi, Akkbar ditawarkan pekerjaan sebagai Eksekutif Kanan Perancangan Produk pada tahun 2003.

WhatsApp-Image-20160512 (8)

  • Kini, anak Melayu dari Kuala Krai ini sudah menjadi Naib Presiden untuk Honda Malaysia. Malah, nama Akkbar tidak asing lagi bagi semua syarikat Honda di Asean dan di Asia, kerana kebolehan beliau bertutur dalam bahasa Jepun dan Inggeris, kemampuan beliau menjadi pendamai dan penyelesai masalah dalam banyak isu syarikat dan membantu Honda Malaysia dalam menjayakan segala rancangan automotif negara.
  • Hasil kerja kuat Akkbar dan rakan-rakannya di Honda Malaysia, Honda kini menjadi jenama bukan nasional nombor satu di dalam negara. Walaupun sudah berjaya dan mempunyai tapak yang kukuh, Akkbar tetap bekerja keras, cuma sekarang ini waktu hujung minggu beliau lebih ditumpukan kepada keluarga.
  • Akkbar dan keluarganya juga mula dikenali oleh penduduk Kuala Krai kerana rumah mereka menjadi pusat bantuan banjir. Akkbar juga berjaya meminta bantuan helikopter PLUS untuk menghantar bantuan ke kawasan kampungnya ketika banjir besar beberapa tahun dahulu.

Untuk mereka yang mempunyai latar-belakang dari kampung atau dari keluarga orang kebiasaan, jangan putus asa. Akkbar membuktikan dengan usaha yang gigih dan jujur, sesorang itu mampu untuk mencapai kejayaan kerjaya di peringkat tinggi.

Siapa sangka seorang yang pernah merempat di Jepun, kini sudah menjadi Naib Presiden syarikat kenderaan bukan nasional nombor satu di Malaysia! – careta.my

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih