KISAH PENCULIKAN SULTAN KEDAH SEMASA PERANG DUNIA KEDUA

KISAH PENCULIKAN SULTAN KEDAH SEMASA PERANG DUNIA KEDUA – Tahukah anda, semasa tercetusnya Perang Dunia Ke-2, Sultan Kedah pada masa itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah diculik semasa dalam perjalanan ke Pulau Pinang?

Tahukah anda bahawa penculiknya ialah anaknya sendiri, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj?
Ya, Ini memang benar-benar berlaku!

Ya, penculiknya juga adalah Perdana Menteri kita yang pertama! Allayarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, atau lebih dikenali dengan gelaran “Bapa Kemerdekaan”.

KISAH PENCULIKAN SULTAN KEDAH SEMASA PERANG DUNIA KEDUA

Kisahnya seperti ini.

Pada satu malam, Tunku Abdul Rahman mendapat satu mimpi yang pelik. Di dalam mimpi tersebut, ayahnya, Sultan Abdul Hamid kelihatan sedang duduk di dalam kamarnya dan memanggil nama Tunku serta meminta tolong.

“Putra, Putra. Tolong!” jerit Sultan Abdul Hamid. Kemudian; secara tiba-tiba mimpi Tunku pun telah tamat. Adakah mimpi yang diterima oleh Tunku sekadar permainan? Ataupun, adakah mimpi ini merupakan amaran kepada Tunku?

Tiga malam kemudian, pada pukul 9 malam, Syed Omar, rakan baik Tunku Abdul Rahman dan juga Bendahari Negeri Kedah, telah menelefon Tunku pada waktu malam dan memberitahu Tunku, bahawa Raja Muda Tunku Badlishah (Abang kepada Tunku Abdul Rahman) telah membuat keputusan untuk membawa diri bersama keluarga serta Sultan Abdul Hamid ke Pulau Pinang kerana mempercayai Pulau Pinang selamat daripada kemaraan tentera Jepun.

Syed Omar berkata lagi, bahawa, dari pelabuhan Pulau Pinang, mereka akan menuju ke Singapura.
Tunku Abdul Rahman tidak bersetuju dengan idea abangnya. Beliau percaya bahawa Sultan Abdul Hamid lebih selamat jika baginda bersama dengan rakyatnya. Lalu, Tunku Abdul Rahman menelefon abangnya dan menyatakan pendapatnya.

Tunku Badlishah dengan tegasnya, menolak pendapat Tunku Abdul Rahman kerana keputusannya muktamad. Tunku Abdul Rahman terus merayu kepada Tunku Badlishah untuk fikirkan balik keputusannya. Namun begitu, rayuan Tunku Abdul Rahman diendahkan.

Tunku Abdul Rahman pun duduk sambil memikirkan satu rancangan untuk menghalang Tunku Badlishah daripada membawa Sultan Abdul Hamid keluar dari negeri Kedah.

Setengah jam kemudian, beliau menelefon Syed Omar dan meminta bantuan Syed Omar untuk menghalang rancangan Raja Muda Tunku Badlishah. Syed Omar, bersetuju, dan memberitahu tempat, masa dan lokasi bertolaknya konvoi diraja.

Tanpa melengahkan masa, Tunku memandu keretanya ke Kampung Sidim, yang terletak sejauh 20 batu dari Kulim. Setelah sampai, beliau berjumpa dengan penghulu kampung tersebut, Penghulu Manap, dan menjelaskan kepada beliau bahawa Sultan akan datang menginap di kampungnya untuk sementara waktu bermula pada keesokan harinya. Beliau meminta Penghulu Manap untuk menyediakan tempat tinggal sementara untuk Sultan.

Kemudian,Tunku Abdul Rahman, terus bergegas kembali ke rumahnya di Kulim dan menelefon rakannya, Abu Bakar Al-Idrus, yang merupakan seorang Inspektor Kesihatan Daerah dan meminta Abu Bakar untuk datang ke rumahnya. Tunku pun menjelaskan rancangannya kepada Abu Bakar, lalu meminta bantuan Abu Bakar untuk menyertai rancangan ini. Abu Bakar tidak langsung menentang idea Tunku dan bersetuju.

Keesokan paginya, Syed Omar menelefon Tunku, dan berkata bahawa konvoi diraja akan bertolak dari Alor Star pada pukul 7 pagi, dan Sultan akan berada di dalam kereta Rolls Royce bewarna kuning bersama Tunku Yahaya (Tunku Yahaya merupakan adik kepada Tunku Abdul Rahman), yang akan mengiringi Sultan.
Syed Omar menjelaskan lagi bahawa kereta Sultan akan mengikuti kereta Raja Muda. Seterusnya, dalam perjalanan mereka, terdapat satu persimpangan yang terletak di satu tempat yang bernama Kepala Batas, di mana jalannya menuju ke arah Timur ke Kulim yang terletak 12 batu dari situ.

Tunku, diikuti Syed Abu Bakar, memandu ke persimpangan tersebut dan meletakkan kereta beliau 50 kaki dari situ. Di persimpangan itu, terdapat satu pondok kecil yang kosong, Tunku dan Syed Abu Bakar tunggu di dalam pondok tersebut untuk mengelakkan diri daripada dilihat pihak polis dan tentera.

Mereka berdua memakai uniform askar, siap dengan topi tentera yang diperbuat daripada keluli.
Masa berlalu, dan dua buah kereta jip polis berlalu. Kedua-dua kereta jip tersebutlah merupakan ketua konvoi diraja. Pada masa itu, Tunku tidak sedar bahawa Komander Tentera British di Sungai Petani telah mengarahkan konvoi diraja untuk menjarakkan diri daripada kenderaan lain selama 2 minit untuk mengelakkan menjadi sasaran kapal pejuang Jepun. Hal ini demikian kerana, terdapat laporan bahawa kapal pejuang Jepun telah dilihat membuat rondaan di sekitar Utara Kedah.

Jikakalau arahan Komander ini tidak dilaksanakan, sudah tentu rancangan Tunku akan gagal.
Tunku dan Syed Abu Bakar menunggu lagi untuk ketibaan kereta Rolls Royce milik Sultan Kedah. Kereta seterusnya yang muncul ialah kereta milik penjawat awam, kemudian diikuti kereta milik Raja Muda Kedah, Tunku Badlishah.

Dua minit berlalu, akhirnya munculah kereta Rolls Royce bewarna kuning. Tunku cepat-cepat berlari ke tengah jalan, kemudian berdiri dengan tegak sambil mengangkat tangannya sebagai arahan untuk meminta pemandu kereta Rolls Royce tersebut untuk berhenti.

Tunku pun membuka pintu kereta tersebut dan memperkenalkan dirinya kepada Sultan Abdul Hamid sebagai anaknya. Beliau kemudian memberitahu Tunku Yahaya bahawa terdapat perubahan perancangan dan Sultan Abdul Halim perlu pergi ke Kulim.

Tunku menyuruh Syed Abu Bakar untuk memandu keretanya ke Kulim dan meminta pemandu kereta Rolls Royce untuk mengikuti Syed Abu Bakar. Tunku mengiringi ayahnya di dalam kereta Rolls Royce sepanjang perjalanan.

Setelah kesemua kereta milik konvoi diraja sampai di Butterworth, mereka terkejut kerana Sultan Kedah tidak sampai lagi. Mereka juga menjadi semakin risau kerana mereka ternampak beberapa kapal pejuang Jepun yang tidak jauh dari situ. Mereka membuat keputusan untuk bergerak ke Pulau Pinang dahulu sebelum mencari lokasi Sultan Kedah.

Tunku membawa ayahnya ke rumahnya. Sultan Abdul Hamid pernah melawati Tunku sebelum ini, jadi baginda tidak ada masalah semasa duduk di rumah Tunku.

Setelah membuatkan ayahnya selesa di rumah, Tunku pun mengaku kepada ayahnya bahawa dia telah menipu tentang perubahan dalam perancangan. Tunku kemudian memberitahu ayahnya bahawa beliau percaya yang baginda Sultan sendiri ingin tinggal di Kedah bersama rakyatnya dalam masa yang susah ini.
Sultan mengangguk sebagai tanda bersetuju dengan pendapat Tunku.

Setelah Raja Muda Tunku Badlishah sampai ke Pulau Pinang, beliau menelefon Polis Dearah Kulim untuk melaporkan kehilangan Sultan Kedah. Polis pun memberitahu kepada Raja Muda bahawa Sultan Abdul Hamid tidak hilang, tetapi selamat di rumah Tunku di Kulim. Raja Muda berasa terkejut, lalu menelefon Tunku Abdul Rahman, dan menyuruhnya untuk membawa Sultan ke Pulau Pinang pada masa itu juga.

Tunku kemudian menjawab balik:

“Saya tidak akan berbuat begitu. Jika kamu ingin memindahkan Tuanku Sultan dari sini, kamu perlu melangkah mayat saya dahulu”.

Raja Muda berasa amat marah, suaranya bertukar dan menjadi garang. Raja Muda pun berkata:
“PUTRA, KAMU TELAH MELAKUKAN JENAYAH YANG PALING TERUK! KAMU PENDERHAKA KEPADA RAJA KITA! SEBAGAI RAJA MUDA, SAYA TIADA PILIHAN TETAPI UNTUK MENGARAHKAN KAMU DITANGKAP DAN DITEMBAK PADA PUKUL 4 PETANG HARI INI! KAMU TUNGGU DI PEJABAT KAMU, ARAHAN SAYA AKAN DILAKSANAKAN DI SANA JUGA!”

*Talian diputuskan*

Tunku, tidak memberitahu perbualan yang berlaku di antara dia dan Raja Muda kepada isterinya mahupun ayahnya. Selepas makan tengah hari, Tunku meminta permohonan ayahnya untuk membawa baginda ke Sidim.

Seperti yang sebelum ini, Sultan tidak berkata apa-apa dan cuma mengangguk sebagai tanda setuju.
Sultan bersama-sama Tunku Yahaya diiringi Tunku Abdul Rahman menuju ke Kampung Sidim.

Penghulu Manap telah mengumpulkan semua pemuda kampung di hadapan rumahnya. Semua pemuda pada masa itu membawa tombak, keris, parang; satu atau dua orang telah membawa senapang.

Apabila mereka sampai, Tunku keluar daripada keretanya, beliau diikuti Penghulu Manap dan membuka pintu kereta Rolls Royce Sultan. Mereka berdua mengangkat tangan mereka dalam keadaan sembah, Tunku pun berkata, “Ampun Tuanku, ini ialah Penghulu Kampung Sidim, Penghulu Manap namanya. Patik memohon Tuanku duduk di rumah ini untuk satu atau dua hari sahaja sehinggalah serangan tentera Jepun berakhir”.

Selepas Sultan Abdul Hamid memasuki rumah tersebut dan menjadikan dirinya selesa, Tunku keluar dari rumah itu dan berkata kepada semua penduduk kampung yang hadir bahawa tentera Jepun telah menyerang Kedah dan telah berjaya menduduki Alor Setar. Dia mengucapkan terima kasih kepada mereka semua yang sudi membantu dan beliau meminta mereka untuk melindungi Sultan dengan nyawa mereka sendiri jika perlu.

Kemudian, Tunku pulang ke rumahnya di Kulim. Setelah sampai ke rumahnya, Syed Abu Bakar meluru ke arahnya dan memberitahu Tunku bahawa pihak polis telah diarah oleh Raja Muda untuk menembak Tunku di pejabatnya pada pukul 4 petang hari itu.

Tunku bertanya kepada Syed Abu Bakar jika isterinya tahu akan berita tersebut, Syed Abu Bakar pun berkata bahawa dia tidak pasti. Tunku pun meminta Syed Abu Bakar untuk tinggal bersama-sama isterinya, tanpa berkata apa-apa lagi, Tunku memandu ke pejabatnya.

Tunku disambut oleh orang ramai di pejabatnya. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu, saudara mara dan rakan-rakan terdekat.

Tunku pun berkata,”Terima kasih kepada semua yang datang ke sini pada hari ini. Saya bukan seorang pengkhianat. Saya telah membantu Sultan kita tinggal di sini bersama rakyatnya. Baginda akan lebih selamat tinggal di Sidim berbanding di Pulau Pinang. Kita mesti bersabar. Apa yang dikehendaki Tuhan, akan berlaku”.

Selepas itu, Tunku memasuki pejabatnya seorang diri dan duduk di kerusinya. Ia hanya pukul 3.30 petang pada masa itu.

Tiba-tiba, pada pukul 3.45 petang, Raja Muda telah menelefon Tunku. Kali ini , suara Raja Muda semasa bercakap dengan Tunku bukan lagi garang, tetapi dalam keadaan ketakutan.

Raja Muda berkata bahawa tentera udara Jepun telah mula mengebom Pulau Pinang. Baginda berkata lagi bahawa, setelah pengeboman Jepun tamat, baginda akan menuju ke Kulim. Baginda berkata lagi bahawa arahan yang telah diberikan sebelum ini kepada pihak polis untuk menembak Tunku akan dibatalkan. Baginda juga meminta Tunku untuk menyediakan tempat penginapan sementara untuk keluarga baginda.

Tunku pun menjawab balik dengan tenang, sopan dan formal, “Titah Tuanku akan dilaksanakan”.
Berita pengeboman Pulau Pinang tersebar dengan cepat. Ramai orang awam telah mati akibat pengeboman tentera udara Jepun. Pada petang itu juga, Raja Muda dan keluarganya telah sampai ke Kulim dan menginap di rumah Tunku. Walaupun mereka selamat, mereka kelihatan takut dan masih berada dalam keadaan trauma.

Keesokan paginya, mereka berpindah ke Sidim. Semasa mereka di Sidim, tentera udara Jepun telah melancarkan satu lagi pengeboman secara besar-besaran ke atas Pulau Pinang. Beratus-ratus orang awam yang tidak berdosa telah terbunuh dalam pengeboman tersebut.

Ternyata rancangan penculikan Sultan Kedah oleh Tunku rupa-rupanya satu tindakan yang bijak.
Bayangkan jika rancangan ini tidak akan dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman? Agaknya apa yang akan jadi?

Sumber:
1) TUNKU, A Pictorial Biography by Tan Sri Dato Mubin Sheppard
2) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, his life journey leading to the declaration of independence (1903-1957) by E.Yu

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih