Kes Bunuh Pengasas AmBank: Ahli Perniagaan Dibebaskan

Kuala Lumpur – Seorang ahli perniagaan tempatan yang ditahan polis 15 Okt lepas berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian Hussain Ahmad Najadi, dibebaskan.

Suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dibebaskan Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, siasatan ke atas beliau telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya yang mendapati tiada keterangan ke atasnya untuk pertuduhan.

“Setelah polis menjalankan siasatan rapi dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara didapati tiada keterangan untuk mengaitkan suspek di dalam kes yang disiasat dan suspek dibebaskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainuddin berkata suspek sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 29 Julai 2013, Hussain, 76, maut manakala isterinya cedera parah selepas ditembak ketika mereka keluar dari kawasan Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon di sini, lapor Bernama.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih