Kes ‘Air Kencing’: Ibu Bapa Murid Buat Laporan Polis

Kes ‘Air Kencing’: Ibu Bapa Murid Buat Laporan Polis

Alor Setar – Sekumpulan ibu bapa berkumpul untuk membuat 2 laporan polis terhadap seorang guru kanan di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah yang didakwa mengarahkan murid bukan Islam meminum air kencing sendiri jika mereka dahaga pada bulan Ramadan.

Salah seorang daripada ibu terbabit, Kavitha Somaly berkata beliau mengetahui perkara itu selepas diberitahu anak lelakinya berusia 11 tahun yang juga bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Ibrahim.

“Murid yang faham mengenai pengumuman dibuat semalam terutamanya murid darjah 4, 5 dan 6 terkejut dengan apa yang diberitahu guru berkenaan dan anak lelaki saya kemudiannya memberitahu saya ketika pulang dari sekolah.

“Tetapi kami mulanya benar-benar tidak percaya dengan apa yang diberitahu kerana mungkin anak saya mereka cerita atau bergurau tentang perkara ini,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena, lantas berjumpa dengan ibu bapa murid bukan Islam dan bertanyakan sama ada mereka ada mendengar perkara itu daripada anak masing-masing.

“Agak memeranjatkan, apabila anak mereka memberitahu perkara yang sama dan kami memutuskan untuk melakukan sesuatu mengenainya. Salah seorang daripada ibu bapa menulis surat yang kemudiannya dihantar ke Jabatan Pelajaran Negeri,” katanya.

Pagi ini, Kavitha bersama beberapa ibu bapa lain pergi ke sekolah berkenaan tetapi memutuskan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu terlebih dulu.

Kumpulan ibu bapa itu akhirnya membuat 2 laporan polis, satu dibuat Kavitha sendiri manakala satu lagi laporan dibuat secara bersama oleh semua ibu bapa terhadap guru berkenaan.

Insiden itu mendapat perhatian ramai selepas sepucuk surat ditulis seorang penjaga murid bukan Islam kepada pengarah pelajaran Kedah dan ia kemudiannya menjadi viral.

Surat bertarikh semalam itu antara lain menyatakan guru yang bertanggungjawab bagi hal ehwal murid di sekolah itu didakwa memberitahu murid bukan Islam supaya tidak minum air di dalam kelas sebaliknya berbuat demikian di dalam tandas sekolah.

Guru yang membuat pengumuman semasa perhimpunan sekolah semalam juga berkata jika murid berkenaan tidak mempunyai air, mereka boleh minum air paip atau air kencing mereka sendiri.

Kavitha berkata, ibu bapa yang menulis surat itu turut menyatakan perkara sedemikian mungkin terjadi kerana “tekanan” guru atau mungkin dia “tersalah cakap”.

“Bagi kami, masalah ini mudah. Pertama, anda memberitahu anak kami untuk pergi ke tandas jika mahu minum air, ia sudah salah.

“Tandas di sekolah bukan macam tandas KLCC,” katanya.

Susulan laporan dibuat ibu bapa berkenaan, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menyiasat dakwaan tersebut.

“Pada peringkat dasar, dakwaan itu jika benar pasti bukan menjadi dasar kementerian. Malah, jika didapati benar, mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan hukuman berat kerana melanggar dasar kementerian,” kata Kamalanathan dalam posting di akaun Facebooknya.

Kavitha berkata, guru itu menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan dia sebenarnya memberitahu kepada murid supaya jangan terminum air kencing jika mereka pergi minum air di tandas.

“Kami memberitahu JPN kita tidak mahu guru seperti ini mengajar anak kami. Ini sekolah berprestasi tinggi,” katanya sambil menambah sekurang-kurangnya 40% murid di sekolah itu bukan Islam.

Sambil mengambil contoh kejadian di SK Seri Pristana, Sungai Buloh pada 2013, Kavitha berkata jika guru besar yang terbabit dalam insiden itu dikenakan tindakan, maka kes lain tidak akan berlaku.

“Kami dapat tahu guru tidak perlu lagi dipindah dan dinaikkan pangkat. Kita tidak mahu perkara ini berlaku di sini. Anda tidak menghukum mereka, tapi sebenarnya anda menggalakkannya.

“Jika guru itu dihukum, saya pasti kita tidak akan berdepan masalah seperti ini sekarang,” katanya.

SK Sri Pristana mendapat perhatian masyarakat selepas guru besar sekolah berkenaan mengarahkan murid bukan Islam di sekolah itu makan dalam tandas sepanjang Ramadan.

Insiden itu tersebar selepas ibu bapa yang prihatin memuat naik gambar murid bukan Islam di dalam tandas pada waktu rehat di Facebook. Gambar berkenaan menjadi viral dan menyebabkan kekecohan di kalangan orang ramai.

Berikutan itu, 18 laporan polis dibuat terhadap pihak sekolah dan guru besar manakala sekolah itu membalas 4 laporan, dengan mengatakan guru besar dan beberapa guru lain berasa terancam.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Khalil Ariffin sebagai berkata guru yang terbabit dalam kejadian terbaru itu cuma bergurau.

“Kes ini sudah ditangani. Ini salah faham. Saya sudah bertemu guru terbabit dan dia menjelaskan semua ini salah faham oleh murid bukan Islam,” katanya dipetik sebagai berkata.

Laporan itu berkata, sebanyak 12 laporan polis dibuat mengenai perkara itu, termasuk oleh pihak sekolah.

Khalil berkata, polis kini akan menyerahkan kes itu kepada JPN, lapor Malaysian Insider.

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...