Keputusan Rayuan Khir Toyo Ditangguh

Keputusan Rayuan Khir Toyo Ditangguh

Putrajaya – Keputusan rayuan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, terhadap hukuman 12 bulan penjara atas dakwaan mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah serta sebuah banglo di Shah Alam, ditangguhkan kepada 22 September ini.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan keputusan itu.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, pihaknya memohon penangguhan kerana Dr Mohamad Khir sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Muhammad Shafee berkata, anak guamnya dimasukkan ke IJN kelmarin selepas rebah sekembalinya daripada berjoging.

Dr Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007, lapor BH Online.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih