Jurufoto Dedahkan “Pintu Lokap Dikunci Sebelum Gambar Mayat Dharmendran Diambil”

Jurufoto Dedahkan “Pintu Lokap Dikunci Sebelum Gambar Mayat Dharmendran Diambil”

Kuala Lumpur – Seorang jurufoto yang ditugaskan mengambil gambar mayat N Dharmendran, tahanan yang ditemui mati di dalam lokap polis dua tahun lepas, memberitahu panel Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bahawa beliau melihat lokap itu dalam keadaan berkunci semasa tiba untuk melakukan tugasnya.

Lans Koperal Kasmir Luntuk dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini berkata lokap itu hanya dibuka oleh pegawai polis bertugas sebaik sahaja beliau tiba di lokasi.

Beliau berkata tidak ada seorang pun anggota polis di dalam lokap berkenaan ketika itu kecuali mayat Dharmendran.

“Sel dalam keadaan berkunci ketika saya masuk, dan selepas saya masuk (ke lokap) barulah ada pegawai masuk,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pada sesi kedua pendengaran awam EAIC di sini, hari ini berhubung kematian Dharmendran di dalam tahanan pada 2013.

Kasmir, saksi ke-11 yang dipanggil dalam sesi pendengaran awam itu, berkata beliau juga melihat baju yang dipakai Dharmendran terselak.

Pada 28 Julai lepas, Majistret Koroner Erry Shahriman Nor Aripin dari Mahkamah Kuala Lumpur dalam pendengaran awam sesi pertama memberitahu melihat mayat mangsa berada di tengah-tengah lokap dalam keadaan terlentang muka ke atas dengan bajunya terselak.

Selain itu, Kasmir berkata 18 keping gambar diambil mengikut arahan pegawai penyiasat.
“Gambar yang diambil adalah atas arahan pegawai penyiasat dari mula sehingga selesai. Saya tidak mengambil gambar sesuka hati termasuklah posisi gambar itu,” katanya.

Ketika ditanya Perunding EAIC Tan Sri Mohd Jamil Johari sama ada gambar yang diambilnya boleh disunting atau dipadam, Kasmir berkata tidak boleh berbuat demikian.

“Tidak boleh. (Gambar) tidak boleh diedit dan dipadam. Apa yang kita ambil gambar, itulah (sahaja gambar sebenar). Kalau gambar gelap pun, kita print (cetak) juga kerana ada nombor siri,” kata Kasmir.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia pada 21 Mei ketika dalam tahanan di IPK KL.

Susulan itu, empat anggota polis dari IPK KL ditahan dan didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.

Pada 12 Dis 2014, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiada prima facie terhadap mereka.

Prosiding bersambung esok, lapor Bernama.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih