Jangan Beri Publisiti Pada ‘Beruk’ Alvin Tan – Kata TPM

Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi amaran kepada rakyat Malaysia di luar negara yang menghina agama lain.

“Menghina agama orang lain, merendah-rendahkan budaya orang lain, mengoyak helaian Al-Quran dan menggunakannya sebagai kertas tandas…ini adalah satu penghinaan. Perbuatan ini adalah ‘kurang ajar’,” katanya.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kebebasan bersuara tidak bermakna menghina kepercayaan orang lain.

“Saya telah meminta Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) untuk menggunakan apa juga kuasa yang ada untuk menangani individu kurang ajar ini, walaupun ia dilakukan di luar negara.

“Individu ini tahu dia boleh melakukannya di luar negara kerana dia berada di sebuah negara yang tidak akan mengambil tindakan terhadapnya.

“Tetapi apa yang dilakukannya sudah melampaui batas, dan kementerian ini tidak akan bertolak ansur mengenai perkara ini. Tindakan akan diambil. Walaupun kita menggalakkan perbezaan pendapat, kita masih berpegang kepada etika dan kita mesti menghormati agama dan kepercayaan orang lain,” kata Dr Ahmad Zahid, dalam ucapannya pada Hari Inovasi kementerian di sini Selasa.

Walaupun beliau tidak menamakan sesiapa secara khusus, komen Dr Ahmad Zahid difahamkan dibuat terhadap posting di Facebook oleh penulis blog seks kontroversi Alvin Tan.

Khalid, yang turut hadir pada majlis itu, memberitahu pemberita kemudian bahawa tindakan akan diambil terhadap Tan, walaupun tidak mengulas lanjut.

“Jangan beri ‘beruk’ ini publisiti, itulah yang dia mahu,” kata Khalid, lapor mStar Online.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih