Jamil Khir Nafi Arah 2 Pegawai YaPEIM Bercuti

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan dua pegawai kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) diarah bercuti, sementara siasatan dijalankan ke atas yayasan itu.

“Keputusan belum ada lagi. Berita itu tidak benar,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu, selepas merasmikan Persidangan Fiqh Zakat Antarabangsa 2015 di sini, hari ini.

Semalam, portal berita tempatan melaporkan dua pegawai kanan YaPEIM diarah berehat daripada menjalankan tugas, sementara siasatan terhadap yayasan itu dijalankan.

Perkara itu turut dilaporkan stesen televisyen swasta yang menamakan kedua-dua pegawai kanan itu ialah Pengerusi YaPEIM Datuk Abdullah Malek Awang Kechil dan Timbalan Pengerusinya, Datuk Siti Zaleha Hussin.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam yayasan itu.

YaPEIM menarik perhatian umum selepas dikaitkan dakwaan salah guna dana dan lebihan pembayaran gaji kepada pengurus atasannya.

Dakwaan oleh Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir itu, turut mengaitkan Jamil Khir, YaPEIM dan peneraju tertinggi yayasan berkenaan yang dituduh menyalah guna dan menyeleweng dana amal jariah (Skim Potongan Gaji).

Pada 19 Nov lepas, Jamil Khir memfailkan saman fitnah terhadap Akmal Nasir berhubung dakwaan itu, di Mahkamah Tinggi di sini.

Mengenai tindakan kira-kira 3,000 pencarum YaPEIM yang menarik balik caruman daripada yayasan itu, Jamil Khir berkata: “Saya kena jawab dalam mahkamah…kalau tidak, jadi bercampur (bercanggah) dengan kenyataan mahkamah nanti”.

Mengenai penganjuran persidangan itu, Jamil Khir berkata ia menjadi platform bagi institusi zakat daripada pelbagai negara bertukar idea tentang perlaksanaan zakat khususnya pada masa ini.

Persidangan dua hari itu dihadiri kira-kira 200 peserta dari enam buah negara termasuk Indonesia, India, United Kingdom dan Afrika Selatan, lapor Bernama.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih