Jamil Khir Buat Laporan Polis Terhadap NOW

Jamil Khir Buat Laporan Polis Terhadap NOW

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini hari ini berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

Beliau yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada pukul 2.30 petang bersama peguam, Adnan Seman @Abdullah dan beberapa pegawainya.

Jumaat lepas, Portal berita, The Malaysian Insider melaporkan dakwaan Pengarah NOW (National Oversight and Whistleblowers), Akmal Nasir mengenai lawatan Jamil Khir dan mendedahkan beberapa dokumen yang merujuk kepada perbelanjaan menteri itu ke luar negara untuk menghadiri program dan dibiayai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Pada hari yang sama, Jamil Khir menjelaskan bahawa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS)pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi di bawah seliaannya, terutama Yapeim dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di AS, termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari AS serta Kanada.

Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis, Jamil Khir berkata, dakwaan Akmal mengenai program di AS bersifat bersuka ria menggunakan dana anak yatim merupakan satu fitnah jahat dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan integriti selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Saya mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah NOW (Akmal) yang melakukan fitnah jahat dan tuduhan keji kepada saya.

“Saya sentiasa bersedia dan terbuka untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku,” katanya, lapor Bernama.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih