Isu Topup: Menteri ‘Cap Ayam’ Asyik Kata Tiada Kuasa

Isu Topup: Menteri ‘Cap Ayam’ Asyik Kata Tiada Kuasa

KUALA LUMPUR – ‘Menteri asyik kata tidak ada kuasa,” demikian reaksi Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan berhubung isu kad prabayar yang akhirnya tidak selesai apabila rakyat tetap dikenakan caj GST meskipun beberapa kenyataan menteri berkaitan sebelum ini seolah-olah memberi harapan kepada pengguna.

Jika menteri tidak ada kuasa mengawal syarikat-syarikat telekomunikasi, beliau mempersoalkan tugas sebenar menteri tersebut sehingga ‘membenarkan’ syarikat-syarikat tersebut membuat keputusan sendiri untuk rakyat.

“Jawapan daripada menteri selalunya sekarang ini ialah ‘kami tidak ada kuasa’. Dah dua tiga kali saya dengar dan kali terakhir, hari ini. Asyik kata ‘kami tiada kuasa’, kemudian apa tugas menteri?

“Awak tak boleh kawal syarikat telekomunikasi, tak boleh panggil mereka dan bincang dengan mereka, tak boleh beritahu mereka apa yang perlu dipatuhi, ‘then what are you doing?’.

“Awak biarkan syarikat telekomunikasi buat keputusan sendiri tanpa ada perbincangan yang begitu serius untuk memihak kepada rakyat sebaliknya berpihak kepada syarikat telekomunikasi,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk memaksa syarikat-syarikat telekomunikasi menyerap GST dalam kad tambah nilai telefon.

Menurut Manivannan, caj GST yang dikenakan ke atas kad tambah nilai ini tidak adil untuk rakyat.

“Kad prabayar ini contoh terbaik kerana kita memahami siapa yang menggunakannya iaitu golongan pelajar, anak muda, warga tua yang tidak mampu menggunakan postpaid. Jadi, di sini kalau kerajaan tidak mampu mengecualikan GST terhadap kad prabayar, memberi sedikit kelonggaran, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Apabila kerajaan boleh membuat satu keputusan, ‘lobster’ boleh dikecualikan…’lobster’ bukan semua orang makan pun, kad prabayar ini semua orang guna…ramai yang guna. Ahli Parlimen pun gunakan,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, kenyataan Shabery itu jelas menghancurkan harapan rakyat.

“Ini amat malang sekali kerana kerajaan telah menjanjikan kepada rakyat bahawa kad tambah nilai tidak akan dikenakan GST. Ini ‘U-turn’ yang amat besar.

“Kami amat kesal kerana golongan anak muda, berpendapatan rendah, pesara dan warga emas akan dibebaskan dengan caj 6 peratus. Janji kerajaan gagal ditunaikan, tidak ditepati sekali lagi,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa agar kerajaan menyenaraikan kad tambah nilai dalam pengecualian GST.

“PKR tidak ada pilihan terpaksa membuat kempen besar-besaran seluruh negara untuk mendesak Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyenaraikan kad tambah nilai ke senarai kadar sifar,” katanya. lapor Sinar Harian.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih