Ini Pendedahan Rahsia Kejayaan Arnold Schwarzenegger

Ini Pendedahan Rahsia Kejayaan Arnold Schwarzenegger

Kuala Lumpur – Bintang filem terkenal, atlet bina badan serta bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger hari ini mendedahkan rahsia yang membolehkannya berada di puncak selama ini.

Berucap pada Forum Transformasi Global (GTF) di sini, pelakon berusia 68 tahun itu berkongsi rahsia dengan lebih daripada 2,000 perwakilan iaitu enam peraturan yang dipegangnya untuk mengubah nasibnya daripada seorang petani di Austria hingga menjadi bintang dunia.

Schwarzenegger yang terkenal dengan watak Terminator sempena filem dengan judul yang sama, percaya semua orang mampu mencapai kejayaan dengan mengikut enam peraturan itu.

“Peraturan pertama adalah visi dan sasaran yang akan membimbing anda ke arah kejayaan. Kedua, harus menjadi yang terbaik atas apa yang dilakukan dan ketiga ketepikan pandangan negatif, sebaliknya buktikan anda mampu melakukannya.

“Keempat anda harus mengelakkan Pelan B kerana jika ada rancangan alternatif, ia bermakna anda tidak yakin kepada diri sendiri,” katanya dalam ucapan penuh inspirasi bertajuk ‘Disiplin Atas Tindakan’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Peraturan kelima Schwarzenegger adalah bekerja keras untuk mencapai kejayaan dan menegaskan betapa beliau benci dengan mereka yang memberi alasan tiada masa untuk bersenam atau melakukan apa sahaja yang mampu meningkatkan taraf kehidupan.

Rahsia terakhirnya bukan hanya mahu menerima tetapi turut menyumbang kepada masyarakat serta mewujudkan kejayaan tersendiri.

“Kejayaan ini bukan saya lakukan sendiri. Apabila saya berpindah ke Amerika Syarikat, saya tidak memiliki apa-apa termasuk wang dan makanan. Kebetulan waktu itu adalah ‘Thanksgiving Day’ (Hari Kesyukuran) dan masyarakat di kejiranan di situ membantu dengan memberikan makanan, perabut serta televisyen hitam putih.

“Tiada siapa yang terus ke puncak dengan kejayaan kerana setiap orang akan menghadapi masalah. Perbezaan antara kejayaan dan kegagalan adalah mereka yang berjaya sentiasa bangkit dan bergerak ke hadapan manakala mereka yang gagal ialah yang berputus asa,” katanya.

Dilahirkan di Thal, Austria pada 1947, Schwarzenegger mula berminat dengan sukan bina badan ketika berusia 15 tahun dan menjadi peserta paling muda menjuarai ‘Mr Universe’ sewaktu berumur 20 tahun.

Tertarik dengan dunia glamor Hollywood, Schwarzenegger kemudian berpindah ke Amerika dan memenangi lima lagi gelaran ‘Mr Universe’ dan tujuh kejuaraan ‘Mr Olympia’ sebelum melibatkan diri sepenuh masa dengan industri perfileman.

Beliau kemudian mendapatkan ijazah di Universiti Wisconsin sebelum menjadi warga Amerika Syarikat.

“Seperti yang saya katakan, jangan berfikir secara kecil. Apabila saya mengambil keputusan berkhidmat untuk Amerika, saya mahukan yang terbaik dan menyasarkan jawatan tertinggi yang boleh dicapai oleh mereka yang bukan lahir di negara itu iaitu Gabernor di negeri terhebat, California,” katanya.

Sepanjang dua penggal memegang jawatan itu dari 2003 hingga 2010, beliau komited berkhidmat untuk masyarakat yang dianggapnya tugas paling memuaskan pernah dilakukan sehingga kini.

Antara usahanya ketika menjadi Gabenor California iaitu memerangi perubahan iklim dan membangunkan tenaga boleh diperbaharui selain memperkenalkan Akta Solusi Pemanasan Global 2006.

Gembira dengan sambutan daripada penduduk Malaysia, beliau berjanji akan kembali ke negara ini dan mengakhiri sesinya dengan ucapan: “Hasta la vista, baby!”.

Slogan dalam bahasa Sepanyol itu yang digunakan beliau dalam filem Terminator 2 bermaksud ‘Jumpa Lagi”, lapor Bernama.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih