Gempa Sabah: 9 Lagi Mayat Ditemui, Penduduk Ranau Masih Trauma..

Gempa Sabah: 9 Lagi Mayat Ditemui, Penduduk Ranau Masih Trauma.. | RANAU – Urusan harian di pekan Ranau berjalan seperti biasa walaupun daerah berkenaan paling terkesan akibat dilanda gempa sabah berukuran 5.9 pada skala Richter kira-kira 7.15 pagi semalam, berbanding daerah lain di pantai barat Sabah.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati orang ramai masih berpusu-pusu ke Tamu Pekan Ranau untuk membeli barangan keperluan manakala pekebun sayur seperti biasa memasarkan sayur-sayuran tanah tinggi antaranya sawi, kubis, tomato, cili besar dan daun bawang.

Aktiviti pengangkutan awam yang menyediakan perkhidmatan untuk perjalanan dari pekan Ranau ke kampung-kampung di sekitarnya turut beroperasi seperti biasa manakala restoran-restoran pula masih dipenuhi pelanggan yang rancak bercerita tentang bencana alam yang baru sahaja menimpa daerah mereka.    

Bagaimanapun di sebalik kerancakan mereka melaksanakan aktiviti harian dalam mencari rezeki untuk meneruskan hidup, jauh di benak kebanyakan penduduk Ranau terselit kebimbangan dan ketakutan ekoran peristiwa yang menggoncang emosi mereka itu.    

“Biasanya saya turun awal pada waktu pagi ke kebun untuk memetik sayur-sayuran. Bagaimanapun, semalam, saya cuma ke kebun pada waktu tengah hari kerana takut selepas gegaran pagi semalam,”  kata Jene Sapin, 60, dari Kampung Lembah Permai, kepada Bernama ketika ditemui di Tamu Pekan Ranau.

Jene yang masih takut gegaran kuat akan berulang berkata gegaran semalam merupakan yang terkuat pernah dirasai sepanjang hayatnya.    

“Saya masih rasa trauma. Saya takut ada lagi gegaran kuat akan datang,” kata Satidah Suhaidi, 43, anak saudara Jene yang turut menjual sayur-sayuran bersebelahan ibu saudaranya itu di Tamu Pekan Ranau.    

Menceritakan detik peristiwa gempa sabah itu, Satidah berkata pagi itu dia sedang mengemas rumah di ruang tamu rumahnya apabila gempa bumi berlaku.     

“Saya panik dan bingung ketika rumah saya bergoncang. Saya mahu keluar dari rumah tetapi saya tidak dapat berjalan. Saya rasa pening. Saya, anak-anak dan adik saya cuma dapat turun ke bawah selepas gegaran mula berkurangan.

“Selepas keluar dari rumah, badan saya bergetar, demikian juga dengan anak-anak saya malah wajah anak-anak saya dan adik saya kelihatan pucat lesi kerana ketakutan,” katanya.

Satidah berkata selepas peristiwa itu, dia tidak berani tinggal lama di kebun sayurnya, sebaliknya cepat-cepat mengambil sayur dan terus balik ke rumah.    

Bibi Sabariah Jalil, 62, dari Kampung Silou pula berkata malam tadi dia tidak dapat tidur semalaman kerana  masih takut dan bimbang gegaran kuat akan berulang.   

Katanya ketika kejadian dia sedang mencuci pinggan di dapur rumah sawah padinya apabila dia melihat pokok kayu bergoyang kuat. Dia segera turun ke bawah lalu serta-merta duduk mencangkung dan memaut rimbunan rumput yang tumbuh di laman rumahnya.   

“Kalau saya tidak berpaut pada rimbunan rumput itu sudah tentu saya akan tersungkur ke tanah. Bagaimanapun gegaran kali ini berbeza dengan gegaran kuat yang pernah saya rasai lama dahulu kerana gegaran dahulu saya seperti dilambung ombak besar namun kali ini cuma goncangan kuat,” katanya. – Bernama
Manakala laporan myMetro..

Gempa Sabah: Sembilan lagi mayat ditemui | Ranau: Sembilan mayat dipercayai pendaki yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa sabah semalam, sudah ditemui dan kerja membawa turun menggunakan helikopter sedang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semua mangsa ditemui di beberapa lokasi berbeza di sekitar puncak gunung berkenaan.

“Semua mayat ditemui masih belum dikenal pasti identitinya.

“Operasi membawa keluar semua mayat akan dilakukan secepat mungkin menggunakan helikopter,” katanya ketika sidang media di Taman Kinabalu, hari ini.

Mohd Farhan berkata, jumlah mangsa yang terkorban setakat ini adalah 11 orang termasuk dua mangsa yang ditemui lewat malam tadi manakala baki lapan lagi individu masih hilang. lapor myMetro.

gempa-sabah
PASUKAN penyelamat dari Tentera Udara Diraja Malaysia meneruskan operasi mencari pendaki yang masih hilang. FOTO Edmund Samunting.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih