Gempa Sabah: 17 Masih Hilang di Gunung Kinabalu

Gempa Sabah: 17 Masih Hilang di Gunung Kinabalu | RANAU – Empat belas pendaki Gunung Kinabalu dan tiga malim gunung dilaporkan hilang dan masih belum ditemui berikutan kejadian gempa bumi berkekuatan 5.9 pada skala Richter di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, yang menyatakan perkara ini, turut mengesahkan bahawa seorang malim gunung dari Sabah dan seorang murid perempuan dari Singapura meninggal dunia di kawasan gunung itu dalam kejadian bencana semalam.

Malim gunung berkenaan dikenali sebagai Robbi Sapinggi, 30, dari Kampung Kiau, Kota Belud, manakala murid perempuan itu pula Wee Ying Ping Peony, katanya pada sidang akhbar di Pusat Gerakan Operasi Taman Kinabalu di sini, hari ini.

Satu sumber memberitahu bahawa 14 pendaki yang hilang itu merupakan pelancong iaitu lapan rakyat Singapura, tiga rakyat Malaysia dan masing-masing satu rakyat China, Filipina serta Jepun.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter, yang merupakan kejadian gempa terkuat di Malaysia setakat ini, melanda kawasan Ranau pada pukul 7.15 pagi semalam.

Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran-gegaran kecil sehingga malam tadi dan ia turut dirasai di empat kawasan lain iaitu Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Operasi mencari dan menyelamat di Gunung Kinabalu dipergiatkan sejak pukul 5.30 pagi ini  termasuk penggunaan helikopter untuk mengangkut anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) ke lokasi kejadian bagi mengesan mangsa yang masih belum dijumpai.

“Jika cuaca tidak mengizinkan (menggunakan laluan udara) kita akan menggunakan laluan darat,” kata Mohd Farhan.

Beliau turut memaklumkan bahawa 20 mangsa telah dimasukkan ke wad untuk rawatan di Hospital Ranau dan Hospital Queen Elizabeth.

Mohd Farhan berkata pihak berkuasa sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan operasi mencari dan menyelamat pada hari ini.

Sehingga ini sejumlah 173 daripada 187 pendaki telah dibawa turun dengan selamat dari gunung itu.

Turut dibawa turun dengan selamat ialah 107 petugas yang menguruskan kemudahan penginapan di gunung itu. – Bernama

gempa bumi

Sebuah helikopter berlegar-legar di kawasan Laban Rata dekat puncak Gunung Kinabalu bagi operasi mencari dan menyelamat pendaki dan malim Gunung Kinabalu yang masih terperangkap ekoran gempa bumi di Sabah hari ini. – Foto Bernama

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih