Dirasuk Makhluk Halus Di Gunung Stong

Dirasuk Makhluk Halus Di Gunung Stong

Gunung Stong terletak di hutan Jelawang di negeri Kelantan. Bercerita tentang Gunung S.tong, aku teringat kembali kisah misteri yang pernah berlaku kira-kira lima tahun yang lalu semasa aku mengikuti ekspedisi Rakan Muda ke Gu.nung Stong. Kami sampai ke tapak perkhemahan pada jam 8:00 malam. Setelah selesai mendirikan khemah, masing-masing membersihkan diri. Ada yang mandi di bilik air yang disediakan dan ada yang mandi di sungai yang berdekatan.

gunung stong park

Dirasuk Makhluk Halus Di Gunung Stong

Aku tidak berani turun ke sungai kerana keadaan cuaca yang gelap. Ketika itu aku sudah merasa seram-sejuk seolah-olah ada sesuatu yang memerhatikan gerak-geri kami. Masing-masing membuat aktiviti sendiri selepas makan malam. Waktu ini, aku mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan ahli-ahli ekspedisi yang lain. Kami bercerita sehingga lewat malam. Ketika hendak memasuki khemah untuk berehat, aku terkejut kerana aku ternampak suatu kelibat di dalam khemah. Rakan sekhemah ku sudah lama lena dan hanyut dibuai mimpi. Sepanjang malam, aku tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana bunyi-bunyian unggas rimba yang kadangkala terdengar mengerikan.

sungai gunung stong

Lebih kurang jam 6:00 pagi kami telah dikejutkan untuk bersiap-siap mendaki Gunung Stong. Semua peserta ekspedisi kelihatan agak kepenatan, kerana semalam kami menaiki bas untuk ke kawasan ini selama lebih lapan jam dari Muar, Johor. Selepas sarapan, masing-masing bersiap untuk mendaki. Ketika tiba di kaki Gunung Stong, salah seorang peserta tiba-tiba menarik diri kerana kakinya bengkak. Tidak tahu apakah puncanya. Yang lainnya meneruskan perjalanan. Kami merentasi berbagai-bagai halangan seperti anak sungai, air terjun dan hutan belukar. Masing-masing kelihatan letih tetapi penuh semangat untuk meneruskan perjalanan.

gunung stong

Lewat petang barulah kami sampai di pertengahan gunung dan bersiap-siap untuk bermalam di situ selepas turun dari puncak gunung nanti. Waktu itu ada di antara kami yang sudah tidak berdaya melangkah dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak. Mereka hanya menunggu kami di khemah. Aku bersama peserta yang lain meneruskan perjalanan kami. Cahaya matahari semakin kelam dan suasana semakin sejuk. Akhirnya kami tiba di puncak hampir waktu Maghrib. Kami sempat bergambar untuk dijadikan sebagai kenangan. Waktu itu aku merasa tersangat letih dan lapar. Nasib baik aku ada membawa sedikit bekalan. Kami berkongsi makanan.

puncak stong

Dalam perjalanan turun, aku adalah di antara peserta yang akhir. Hari semakin gelap. Apabila sampai di suatu kawasan, kami terdengar suara siamang bersahut-sahutan seolah-olah ingin memberitahu sesuatu. Ada di antara peserta wanita yang kecut perut kerana bunyi itu rasanya betul-betul di atas kepala kami. Dengan hanya berpandukan lampu suluh dan panduan dari peserta yang berpengalaman mendaki gunung, kami menuruni gunung sambil berpegangan tangan. Ada di antara kami yang sudah terlalu lemah dan jatuh pengsan. Ini menyebabkan perjalanan kami terhenti beberapa kali.

hantu siamang

Aku merasa aneh kerana kami masih belum sampai ke kawasan perkhemahan kami walaupun sudah lebih dua jam kami berjalan. Aku rasa aku telah melalui satu kawasan yang sama di mana terdapat pokok yang besar-besar entah berapa kali. Akhirnya guru pandu kami mengakui yang dia tidak berjumpa jalan asal yang kami lalui semasa mendaki ke puncak tadi. Kami menjadi risau, tetapi nasib baik semua berjaya mengawal perasaan. Salah seorang dari kami mencadangkan agar kami meneruskan perjalanan, tetapi masing-masing merasa bimbang kalau-kalau kami semakin jauh tersesat di dalam hutan.

Tiba-tiba muncul sekumpulan pemuda entah dari mana . Masing-masing memakai serban dan jubah putih. Mereka memberi salam kepada kami. Kami menjawab salam mereka dan menceritakan masalah kami. Menurut mereka, kejadian seperti ini memang selalu berlaku. Mereka menasihatkan kami agar teruskan perjalanan menuruni gunung sambil menunjuk ke satu arah. Kami semua melihat ke arah yang di tunjukkan. Ketika ingin mengucapkan teri,a kasih, kumpulan pemuda tadi sudah hilang entah ke mana. Masing-masing terdiam.

makhluk halus

Kami meneruskan perjalanan ke arah yang ditunjukkan dan tidak lama kemudian kami ternampak cahaya kelam yang datangnya dari kawasan perkhemahan kami. Sampai sahaja di khemah, kami terus dihujani dengan berbagai pertanyaan. Kami tersesat lebih dari satu jam. Nasib baik ada kumpulan yang berjubah tadi membantu kami. Yang menghairankan kami, untuk apa mereka menuju arah ke puncak sedangkan di sana tidak terdapat sebarang perkampungan pun.

khemah

Entah kenapa, walaupun badan aku cukup letih tapi aku merasa susah untuk melelapkan mata. Di luar khemah hujan turun dengan lebatnya. Aku merasa risau kerana khemah kami didirikan di atas tanah yang tidak berapa rata. Takut nanti kami hanyut dibawa arus atau tanah runtuh. Keesokkan harinya, kami berkemas untuk turun ke tapak perkhemahan kami sebelum ini. Dalam perjalanan turun, masing-masing sibuk menceritakan pengalaman masing-masing.

Di samping itu kami terpaksa berhati-hati kerana jalan licin. Ada juga di antara kami yang tersungkur entah keberapa kali. Yang menggelikan hati, ada yang terjatuh ke dalam lopak air yang agak dalam dan gagal untuk naik semula walaupun di tolong oleh beberapa orang. Kemudian, kami sampai di satu tempat rehat yang dinamakan Baha Camp. Di situ masing-masing melepaskan penat lelah dengan mandi dan memasak makanan.

baha camp

Hari sudah pun berganjak ke tengahari. Sedang kami leka bermandi-manda, tiba-tiba ketua kumpulan ekspedisi menyuruh kami cepat bersiap-siap untuk bertolak turun. Terpinga-pinga kami dibuatnya. Letih pun belum hilang rasanya. Dia kata sesuatu yang buruk telah berlaku dan menyuruh kami cepat meninggalkan kawasan itu. Aku segera naik ke darat dan mengambil barang-barang aku. Aku mendapat tahu yang salah seorang peserta wanita telah dirasuk makhluk halus.

rasuk

Mahkluk halus yang merasuk peserta wanita itu tidak suka kami berada di kawasannya dan mengugut untuk merasuk lebih ramai lagi sekiranya kami terus berasa di situ. Walaupun takut, masing-masing masih dapat mengawal perasaan. Kami berkumpul dan berjalan bersama-sama menuruni gunung. Yang tinggal hanyalah ketua kumpulan, peserta yang di rasuk serta beberapa orang pekerja yang bekerja di Baha Camp. Dalam perjalanan turun ke bawah gunung, masing-masing masih tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku.

Lewat petang baru kami sampai di tapak perkhemahan. Selepas mendirikan khemah dan mandi kami bersiap untuk memasak. Pada waktu itu kami melihat peserta yang dirasuk tadi turun bersama-sama yang lain. Dia kelihatan normal. Sebelum masuk ke kawasan khemah, Abang Kadir (Ketua Baha Camp) membaca sesuatu lalu dihembus ke peserta tadi. Tiba-tiba dia menjadi lemah dan terus disambut dan dipapah ke kawasan khemah. Dia dibaringkan di tengah-tengah padang dan abang Kadir terus membaca jampi serapahnya. Kami tidak dibenarkan mendekati peserta tadi kerana menurut abang Kadir makhluk yang merasuknya masih berada di kawasan itu bersama dengan rakan-rakannya. Walaupun kami tidak nampak makhluk halus dan rakan-rakannya itu, kami patuh pada arahan abang kadir.

hantu hutan

Selesai makan malam, semua peserta mengerumuni abang Kadir untuk mengetahui cerita yang sebenarnya. Menurut beliau, makhluk halus yang tinggal di kawasan gunung itu marah pada peserta wanita berkenaan kerana memetik sekuntum bunga dari sebatang pokok yang hanya menghasilkan bau setiap tujuh tahun. Katanya lagi jika kami masih berada di Baha Camp, mungkin lebih ramai lagi yang akan dirasuk.

bunga1

Walaupun makhluk itu berjaya diusir dari badan peserta berkenaan semasa di Baha Camp lagi, abang Kadir terpaksa membenarkannya merasuk semula peserta itu untuk menolong membawa peserta itu turun sehingga ke kawasan khemah. Jika tidak mereka menghadapi masalah untuk membawanya turun dengan keadaan badannya yang lemah. Dan banyak lagi yang diceritakan oleh abang Baha mengenai hutan disitu.

Malam itu kami berkumpul dalam beberapa kumpulan. Masing-masing menceritakan kisah petang tadi dan ada juga yang menceritakan pengalaman yang serupa. Aku merasa seolah-olah seperti berada di panggung wayang. Bila sudah jemu mendengar cerita satu kumpulan, aku beralih ke kumpulan yang lain. Walaupun topik perbualan hampir sama, aku masih tetap mahu mendengarnya. Ada yang tidak tidur sehingga keesokan hari kerana asyik bercerita dan mendengar cerita.

camping

Dalam perjalanan pulang ke Muar, ketua ekspedisi memberi peluang kepada setiap peserta untuk meluahkan isi hati masing-masing berkenaan ekspedisi kami ini termasuklah peserta yang dirasuk semalam. Walaupun dia tidak ingat tentang kejadian dirasuk itu, tetapi dia memberitahu kami yang dia telah beberapa kali terserempak dengan beberapa orang yang bukan peserta ekspedisi semasa menaiki puncak Gunung Stong.

Daripada kejadian yang aku alami, aku sedar betapa kita semua perlu menghormati harta benda orang lain dan jangan bersikap angkuh apabila memasuki sesuatu kawasan yang kita belum kenal sepenuhnya. Kita juga perlu menjaga flora dan fauna serta jangan sesuka hati merosakkannya. Buat kawan-kawan yang sama-sama menyertai Ekspedisi Gunung Stong, aku ucapkan selamat berjaya. Semoga kita bertemu diekspedisi yang lainnya. – kisahseram.com

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih