Azmil Mustapha Akur digelar Ali Setan

Azmil Mustapha Akur digelar Ali Setan – Meskipun filem Ali Setan sudah mencecah usia 32 tahun selepas kali pertama ditayangkan pada Februari 1985, pelakon utamanya Azmil tidak dapat lari daripada terus dipanggil Ali Setan. Azmil yang kini sudah bergelar penceramah bebas akur yang panggilan nama watak tersebut sedikit sebanyak membawa kebaikan kepada dirinya terutama ketika berhadapan dengan orang ramai dan urusan pekerjaan.

Malah kata Azmil Mustapha, 64, dia langsung tidak kisah sekiranya terus dipanggil dengan nama Ali Setan, sementelah filem tersebut yang melonjakkan namanya satu ketika dulu sehingga masih dikenali ke hari ini.

azmil mustapha

Azmil Mustapha Akur digelar Ali Setan

Bahkan kata Azmil yang kini dipanggil Ustaz, kerana nama Ali Setan, kerja-kerja dakwahnya lebih mudah, mesra dan mendapat sambutan ramai. “Tak kisahlah kalau ada yang panggil saya Ali Setan pun. Orang kenal kita dengan watak tersebut, jadi terima sahajalah.

“Kerana nama inilah juga, saya teringat satu peristiwa yang menarik satu waktu dulu. Ketika itu saya dipanggil berdakwah di satu daerah di Terengganu. Penganjur memasang gegantung besar di sebuah masjid dengan nama Ustaz Ali Setan. Waktu itu, ramai betul yang datang dengar ceramah saya.

“Bila habis sesi tersebut, seorang imam di sana memberitahu, kenapa apabila dia menjemput ramai ustaz lain berceramah, tidak ramai yang datang.

“Jadi saya kata, nama Ali Setan itu bawa tuah sendiri sebab ramai yang datang nak dengar ‘setan’ beri ceramah,” kata Azmil berseloroh menceritakan kisah lama.

Justeru, tiada masalah baginya untuk terus dipanggil Ali Setan kerana akhirnya membawa banyak kebaikan untuk dirinya sendiri.

Malah Azmil Mustapha yang juga memegang watak sebagai Taufik dalam filem Suara Kekasih tidak punya sebarang syarat atas setiap hasil karya dan lakonannya sekiranya dia sudah tiada lagi di dunia ini.

“Saya tidak akan melarang karya-karya atau lakonan saya untuk tak ditayangkan lagi sekiranya saya sudah tiada di dunia ini. Tidak ada hak untuk saya minta berbuat begitu. Tidak ada masalah bagi saya untuk mana-mana pihak terus mahu menyiarkan filem atau memainkan lagu-lagu saya.

“Malah kerana penciptaan lagu-lagu lama saya dulu, sehingga sekarang ini saya masih menerima royalti daripadanya,” kata Azmil yang juga tidak melarang anak-anaknya untuk terlibat dalam dunia seni.

Tambah Azmil Mustapha, dia tidak langsung berasa rindu untuk kembali ke dunia seni selepas menghabiskan banyak usianya dalam dunia hiburan satu ketika dahulu.

“Saya sudah tidak rindu lagi dengan dunia seni. Apabila kita sudah rasa cinta Allah, kita tidak perlu lagi cinta lain.

“Cumanya selepas menduda 15 tahun, saya terfikir pula untuk berkahwin. Tapi calonnya masih belum ada,” kata Azmil bergurau.
semakin pulih

Kata Azmil, dia kini semakin pulih daripada masalah jantung selepas koma dan dimasukkan ke hospital pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya kembali sihat dan cergas untuk terus melakukan pelbagai aktiviti. Ini semua berkat daripada ramai orang yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan saya terutama ketika terlantar dalam keadaan koma.

“Waktu saya koma di hospital tahun lalu, lebih 1,000 orang berada di luar wad mahu melihat saya tetapi disebabkan kondisi kesihatan yang tidak stabil ketika itu, pihak hospital hanya mengizinkan ahli keluarga terdekat sahaja yang boleh berada di sisi.

“Apa pun, saya masih menerima rawatan susulan daripada doktor cuma kekerapan itu sudah semakin kurang,” kata Azmil. – www.utusan.com.my

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih