Anwar Ibrahim Dibenar Cabar Keputusan Lembaga Pengampunan

Anwar Ibrahim Dibenar Cabar Keputusan Lembaga Pengampunan

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Ogos ini bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi sabitan kesalahan dalam kes liwat.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu dalam kamarnya apabila kes itu dikemukakan kepadanya hari ini.

Seseorang pemohon perlu mendapatkan kebenaran mahkamah sebelum meneruskan dengan permohonan semakan kehakiman.

Peguam Shahid Adli Kamarudin, yang mewakili Anwar memberitahu pemberita hakim juga membenarkan permohonan anak guamnya untuk pindaan kecil dalam kertas semakan kehakiman.

Pada 24 Jun, Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuannya Nurul Izzah dan Nurul Nuha memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac dan agar lembaga itu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 67.

Mereka juga memohon perintah mandamus agar lembaga itu mengadakan semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja yang dikemukakan anggota keluarga Anwar serta mempersembahkan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar mendakwa keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu, adalah tidak sah.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman terhadapnya pada 10 Feb kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008, lapor Bernama.

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI !!

loading...

Dapatkan kisah terbaik terus ke dalam inbox email anda!