Ahmad Maslan Sertai Himpunan ‘Baju Merah’

Ahmad Maslan Sertai Himpunan ‘Baju Merah’

Kuala Lumpur – Himpunan Rakyat Bersatu dan perhimpunan ‘baju merah’ yang berlangsung pada Rabu turut menyaksikan Datuk Ahmad Maslan ‘turun padang’ untuk bersama peserta program yang diadakan di sekitar ibu negara.

Dua perhimpunan itu masing-masing dikendalikan Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu.

Ahmad berkata, kehadirannya pada perhimpunan itu atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Alumni Kelab Umno Luar Negara.

“Saya hadir mewakili NGO. Saya terlibat dalam perhimpunan ini kerana ia dibenarkan polis, kalau tak lulus saya tak hadir.

“Memang saya ada dua lagi ‘topi’ iaitu Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri Miti, tapi saya hadir atas nama NGO,” katanya kepada pemberita selepas bertemu peserta himpunan di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay di sini, Rabu.

Kehadiran beliau berkonvoi menaiki motosikal melibatkan 34 motosikal itu menarik perhatian ramai.

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk bersalam dan bertemu orang ramai termasuklah bergambar bersama peserta himpunan.

Katanya, terdahulu, beliau singgah di Masjid Wilayah dan memaklumkan terdapat ratusan bas di sana serta ribuan peserta perhimpunan.

“Selepas ini saya akan ke Masjid Negara, PWTC dan Padang Merbok.

“Saya tak akan mengikuti program sehingga petang kerana perlu ke Kota Kinabalu pada pukul 3 petang ini untuk sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan semua peserta supaya tidak mencetuskan provokasi dan berhimpun secara aman.

“Saya membawa mesej keamanan. Saya cintakan keamanan dan peraturan, jadi saya harap tak berlaku perkara memudaratkan,” katanya, lapor mStar Online.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih